Hector Bellerin mahu seluruh pasukan Arsenal bersatu susulan insiden melibatkan Granit Xhaka dan peminat The Gunners ketika diikat seri Crystal Palace, awal pagi semalam.

Skuad kendalian Unai Emery itu melepaskan pendahuluan 2-0 sehingga membolehkan lawan mengikat kedudukan 2-2 di Emirates tatkala mereka kini ketinggalan empat mata daripada kelompok empat terbaik.

Aksi itu disulam kontroversi penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas Wilfried Zaha dilayangkan kad kuning kerana menjatuhkan badan sebelum jaringan kemenangan Sokratis Papastathopoulos dibatalkan.

Bagaimanapun, situasi ketika Xhaka dibawa keluar pada minit ke-61 mencuri tumpuan selepas kapten Arsenal itu menerima ejekan daripada penonton tuan rumah.

Xhaka dilihat memberikan reaksi terhadap insiden itu sehingga menyebabkan ejekan menjadi lebih kuat sebelum dia menanggalkan jersi ketika menuju terowong pemain.

Pemain Switzerland itu jelas sangat kecewa dengan insiden tersebut berdasarkan laporan daripada The Athletic dan pengendali, Emery, berkata pihak kelab akan mengambil tindakan selepas menyifatkan reaksi Xhaka itu sebagai sesuatu yang salah.

Bagaimanapun, Bellerin menerusi laman media sosial menggesa peminat pasukan memahami Xhaka dan berada di belakang kelab.

"Kami semua adalah manusia. Kami memiliki emosi dan kadangkala tidak mudah untuk menghadapinya," katanya.

"Sudah tiba masa untuk membantu antara satu sama lain dan bukan menghukum. Kami hanya akan menang apabila bersatu."

Selain daripada kontroversi melibatkan Xhaka, keputusan perlawanan itu juga membuatkan masa depan Emery dalam bahaya selepas The Gunners hanya memenangi dua daripada lapan aksi terakhir dalam liga.

Mereka bakal berdepan Liverpool dalam saingan Piala EFL, awal pagi Khamis ini sebelum melayan kunjungan Wolverhampton Wanderers bagi aksi liga, Sabtu ini.