Cakap-cakap mengenai perpindahan Leroy Sane daripada Manchester City ke Bayern Munich akhirnya selesai.

Bayern dilaporkan perlu mengeluarkan bayaran pendahuluan bernilai €49 juta (RM235.6 juta), yang akan melonjak kepada €60 juta (RM288.5 juta) untuk mendatangkan pemain kebangsaan Jerman itu, yang dijangka tiba di Munich awal pagi esok, seperti yang dilaporkan Stats Perform News.

Sane menyertai City daripada Schalke pada 2016 dengan perpindahan yang dilaporkan bernilai €40 juta (RM192.3 juta) dan segera mempamerkan kemampuan dalam kempen pertamanya.

Dia kemudian melonjak ke satu tahap berbeza apabila meraih gelaran Pemain Muda Terbaik dalam Anugerah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) musim 2017-18, di mana skuad kendalian Pep Guardiola itu dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris.

Sane membantu City meraih satu lagi gelaran liga utama itu pada tahun berikutnya dengan menjaringkan 16 gol dalam kesemua kejohanan sebelum dikaitkan untuk menyertai Bayern pada penghujung musim 2018-19.

Kelab Jerman itu dilaporkan berminat untuk membawa pemain itu kembali ke Bundesliga tahun lalu tetapi dikhabarkan tidak bersetuju dengan tanda harga yang diletakkan City.

Sane kemudian mnengalami kecederaan lutut serius dalam perlawanan Perisai komuniti Ogos tahun lalu dan hanya mula menjejakkan kaki di lapangan sejak bulan lalu.

Sepanjang waktu rehat itu, berita mengenai perpindahannya ke Bayern semakin bertiup kencang dan pada 19 Jun lalu, Guardiola mengesahkan pemain berusia 24 tahun itu telah memaklumkan kepada kelabnya bahawa dia tidak akan menandatangani kontrak lanjutan.

Dengan itu, Guardiola mengakui bahawa Sane akan dijual pada tahun ini atau meninggalkan pasukan itu secara percuma pada Jun 2021.

City sekurang-kurangnya perlu mengelakkan situasi kedua itu walaupun tanda harga €60 juta itu lebih rendah berbanding harga asal €150 juta (RM721.2 juta) yang diletakkan mereka pada 2019.