Michy Batshuayi berasakan seperti pulang ke 'rumah' selepas kembali menyertai Crystal Palace secara pinjaman dari Chelsea buat kali kedua.

Pemain kebangsaan Belgium itu bersetuju untuk melanjutkan kontrak 12 bulan dengan Chelsea semalam, bermakna dia masih lagi memiliki kontrak sehingga 2022, sebelum kembali dipinjamkan ke Selhurst Park.

Batshuayi meledak enam gol dalam 13 penampilan buat skuad kendalian Roy Hodgson di Selatan London bagi musim 2018-19.

Dan pemain berusia 26 tahun itu, yang bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Chelsea sejak 2016, berharap dapat memberikan impak yang sama di Palace bagi musim baru ini.

"Saya telah menerima banyak tawaran tetapi saya memilih untuk bersama Palace," katanya.

"Saya gembira, jurulatih gembira, rakan sepasukan gembira. Jadi mari mula bekerja."Saya memiliki hubungan baik bersama pengurus dan dia yakin dengan kemampuan saya.

"Dia sentiasa memiliki cara untuk memberikan motivasi kepada pemain dan semua mengenalinya, seorang pengendali yang berkualiti."

Batshuayi telah meledak 25 gol dalam 77 penampilan bersama Chelsea, termasuk enam pada musim lalu, tetapi telah dipinjamkan empat kali.

Dia juga telah meledak dua gol untuk Belgium ketika menang 5-1 ke atas Iceland dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA untuk menjadikan 18 gol dalam 30 penampilan dalam skuad kebangsaan.