Batshuayi akan raih peluang untuk menyinar

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2017 335
Batshuayi akan raih peluang untuk menyinar
Pengendali Chelsea, Antonio Conte, memuji peningkatan prestasi yang ditampilkan oleh penyerangnya, Michy Batshuayi, dan menegaskan pemain itu akan memiliki lebih banyak peluang untuk menyinar musim ini.

Batshuayi menjaringkan gol yang mengesahkan kejuaraan liga buat The Blues musim lalu, namun hanya sekali berjaya membarisi kesebelasan utama.

Pemain berusia 24 tahun itu turut menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Atletico Madrid, bulan lalu, sekaligus membuktikan dirinya layak untuk menerima peranan lebih besar di Stamford Bridge.

"Jika anda membandingkan Batshuayi pada musim lalu, dia kini menunjukkan banyak peningkatan dan mula memahami Liga Perdana Inggeris (EPL), bukan liga yang mudah," kata Conte.

"Dia mula memahami gaya permainan kami tetapi perlu diingat bahawa Batshuayi adalah salah seorang pemain muda dan dia bekerja keras untuk maju. Dia meraih banyak peluang untuk beraksi pada musim ini.

"Walaupun Eden Hazard boleh beraksi sebagai penyerang, seperti yang saya lakukan pada musim lalu, Batshuayi akan meraih peluang yang sepatutnya jika dia membuktikan kebolehannya," katanya.

Semalam, Conte mengesahkan bahawa Chelsea terpaksa melupakan khidmat N'Golo Kante selepas pemain Perancis itu mengalami kecederaan paha, dan pengendali dari Itali itu tidak menyangkal mungkin menggunakan pilihan pertahanan untuk mengisi kekosongan di tengah.

"Saya tidak rasa Antonio Rudiger mempunyai perwatakan untuk berada di tengah tetapi Andreas Christensen dan David Luiz mampu untuk memenuhi keperluan itu.

"Pada pendapat saya, Rudiger mampu beraksi sebagai pertahanan tengah atau sayap pertahanan tetapi bukan bermain selaku penggerak bahagian tengah," tambah Conte.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen