CHELSEA 2 MAN UNITED 2

Jose Mourinho terlibat dengan insiden pergaduhan selepas Ross Barkley meledak gol penyamaan yang membenarkan Chelsea meraih seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Manchester United di Stamford Bridge, sebentar tadi.


Mourinho berada di landasan merakamkan kemenangan pertama selaku pengurus United berdepan kelab lamanya itu hasil dua jaringan Anthony Martial.

Martial menafikan gol pembukaan Antonio Rudiger pada minit ke-55 sebelum menggandakan jaringan, sekali gus meletakkan skuad bimbingan Mourinho di depan ketika perlawanan melewati 10 minit terakhir.

Bagaimanapun, kehadiran pemain gantian, Barkley, memastikan Maurizio Sarri mengelak kekalahan pertama selaku pengurus Chelsea pada penghujung permainan.

Pengakhiran dramatik di antara Chelsea-United menghadirkan pertelingkahan dalam barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan.

Mourinho berang dengan gelagat penolong jurulatih Sarri yang meraikan gol Chelsea di hadapan beliau hingga perbalahan terpaksa dihentikan oleh pengawal keselamatan stadium.