Ole Gunnar Solskjaer percaya Manchester United masih jauh daripada bergelar pencabar Liga Perdana Inggeris.

Menjelang pertemuan dengan Bournemouth, malam ini, United kini mengharungi 15 perlawanan tanpa kalah dan hanya tiga mata di belakang pasukan tangga ketiga, Leicester City.

Namun, meskipun United tampak semakin hampir untuk mencabar kejuaraan, bekas kapten, Gary Neville, memberi amaran bahawa mereka perlu melakukan sesuatu dalam jendela perpindahan.

Solskjaer bersetuju dengan bekas rakan sepasukannya itu dan berpendapat jendela perpindahan mampu menjadi kunci buat United yang ketinggalan 34 mata berbanding juara liga, Liverpool.

"Pendapat Neville benar dalam banyak perkara dan semestinya kami tidak fikir sudah menjadi pencabar," katanya.

"Jika anda melihat kedudukan, kami jauh daripada sepatutnya. Tahap konsisten perlu diperbaiki dan kami perlu tingkatkan banyak aspek permainan.

"Saya tidak tahu berapa beza mata kami dengan pasukan tangga kedua tetapi pendapat Neville itu betul, kami tidak boleh berpuas hati dan banyak perkara perlu diperbaiki.

"Memang kami lihat ada peningkatan tetapi masih perlukan satu atau dua, mungkin lebih banyak keputusan tepat. Ia akan menjadi musim panas yang penting."

Tatkala saingan liga berbaki enam perlawanan, United kini dua mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea, dalam perebutan kelompok empat teratas.

Solskjaer menjangkakan perlumbaan itu akan berlanjutan sehingga perlawanan terakhir, di mana United akan bertandang ke City.

"Masa semakin singkat dan banyak perlawanan perlu dihadapi tetapi saya fikir ia akan ditentukan dalam aksi terakhir," katanya.

"Chelsea akan menentang Wolverhampton Wanderers dan kami berdepan Leicester, jadi ia mungkin menjadi kelebihan tiga mata buat kami dan ia sangat penting.

"Saya tidak lihat perbezaan di antara kami dan Leicester yang lebih memerlukan tiga mata lebih tinggi berbanding Chelsea atau Wolves.

"Ia sesuatu yang menyeronokkan. Dalam tempoh singkat dan banyak perlawanan tetapi saya rasa ia berlanjutan sehingga perlawanan terakhir."