Gareth Bale ingin menterjemahkan mentaliti kemenangan yang dikembangkannya di Real Madrid kepada Tottenham dan membantu kelab itu menamatkan penantian mereka meraih gelaran.

Semalam, Tottenham mengumumkan Bale kembali ke kelab itu secara pinjaman selama semusim daripada Madrid -- sejak meninggalkan Spurs pada 2013 dengan harga termahal dunia £85 juta (RMRM487.1j).

Selama tujuh musim di Santiago Bernabeu, pemain sayap berusia 31 tahun itu telah menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) sebanyak empat kali sementara LaLiga dua kali.

Spurs pula hanya berjaya menjulang satu trofi sejak era milenium -- Piala Liga Inggeris (EFL) 2007-08 -- justeru Bale, yang dijangka hanya akan beraksi selepas rehat antarabangsa bulan depan, berharap mampu mengakhiri kemarau trofi kelab itu di bawah bimbingan Jose Mourinho.

"Seronok dapat kembali. Ini sebuah kelab istimewa bagi saya, di sinilah saya mencipta nama, Sebuah kelab yang luar biasa dan peminat yang luar biasa, sangat mengagumkan dapat kembali," katanya dalam temu bual rasmi bersama kelab itu.

"Mudah-mudahan saya dapat mengembalikan kecergasan, terus berusaha dan memberi sumbangan besar untuk membantu pasukan dan semoga kami dapat memenangi trofi.

"Ini sebuah kelab yang istimewa. Saya selalu berfikir bahawa ketika saya meninggalkannya, suatu hari saya ingin sekali kembali. Peluangnya telah muncul. Saya rasa ia perpindahan ini bersesuaian untuk saya, ini adalah masa yang baik buat saya. Saya dahagakan kejayaan. Saya bermotivasi, saya mahu melakukan yang terbaik demi pasukan dan saya tidak sabar-sabar lagi untuk memulakannya.


"Dengan berkelana ke Madrid, memenangi trofi dan mara lebih jauh bersama pasukan kebangsaan, Wales, saya rasa saya mempunyai mentaliti kemenangan untuk menjulang piala. Anda tidak akan menyedarinya sehingga anda berada di tahap itu dan dalam situasi final. Ia mengenai cara menangani keadaan, gemuruh dan tekanan.

"Ia berjalan seiring dengan pengalaman, jadi mudah-mudahan saya dapat membawanya ke bilik persalinan, meningkatkan kepercayaan kepada semua pihak bahawa kami mampu memenangi trofi. Sasarannya ialah dengan melakukannya pada musim ini -- bukan setakat memenangi satu kejuaraan bahkan berjuang dalam setiap kejohanan yang disertai.

"Saya ingin mengembalikan mentaliti itu ke Tottenham. Saya bercakap dengan ketua (Daniel Levy) mengenai masa lalu dan apa yang kami akan lakukan untuk membawa kelab ini ke tahap seterusnya dan ketika saya pergi, kelab ini baru sahaja membangun dan berkembang di stadium yang luar biasa ini, tempat latihan bertambah baik sejak kali terakhir saya berada di sini.

"Ini masa yang menggembirakan bagi semua orang di sini. Kelab ini terus maju setiap tahun, ia sesuatu yang sangat bagus. Saya mahu menyumbang lagi dan berusaha membawa kami ke tahap seterusnya, iaitu memenangi trofi.

"Saya sedar bercakap banyak mengenainya tetapi adalah sangat penting untuk kelab ini memenangi trofi. Itulah yang kami semua mahu lakukan sebagai pemain, kami mahu memenangi trofi dalam karier. Melakukannya di Tottenham akan menjadi impian menjadi kenyataan."

Spurs mengumumkan kepulangan Bale sejurus mengesahkan ketibaan seorang lagi pemain Real Madrid, Sergio Reguilon.