WOLFSBERGER 1 TOTTENHAM 4

Jose Mourinho mendambakan khidmat Harry Kane "untuk setiap minit perlawanan" tetapi direhatkan Tottenham dalam perlawanan awal pagi tadi untuk memberi ruang kepadanya menguruskan masalah kecergasan.


Kane mengalami masalah pergelangan kaki dalam kekalahan kepada Liverpool pada 28 Januari lalu dan dijangka akan terlepas beberapa minggu, namun kembali lebih awal dengan menghadapi West Brom pada 7 Februari.

Ini adalah satu langkah yang membuahkan hasil yang menyaksikan penggempur England itu membantu mereka mencipta kemenangan 2-0 -- satu-satunya kemenangan Spurs dalam lima perlawanan liga terakhir.

Selepas disingkirkan Everton dalam Piala FA dan tersungkur di Manchester City minggu lalu, Kane tidak menyertai kunjungan ke Budapest untuk pertemuan pertama pusingan 32 Liga Europa itu apabila Spurs meratah kelab Austria, Wolfsberger, awal pagi tadi.

Tottenham turun tanpa watak berbisa mereka itu namun Son Heung-min, Gareth Bale, Lucas Moura dan Carlos Vinicius masing-masing memperoleh jaringan bagi kemenangan selesa 4-1 dan membawa kelebihan agregat menjelang perlawanan timbal balik.

"Dia sedar saya ingin mempertaruhkannya dalam setiap minit setiap perlawanan jadi ia bukanlah soal membuat pilihan," kata Mourinho dalam sidang akhbar ketika ditanya mengenai kelibat Kane.




"Saya mahu ke mari dengan membariskan pasukan dan pemain terbaik bagi meningkatkan peluang kami dalam usaha mencatatkan keputusan yang baik, tetapi dia memutuskannya berdasarkan nalurinya bahawa terlibat dengan perlawanan ini adalah amat berisiko berikutan kecederaan yang dialaminya baru-baru ini."

"Saya dan jabatan perubatan sepakat dengannya untuk memberikannya ruang bagi mengurus situasinya. Tetapi saya percaya pada Ahad ini dia akan baik-baik saja dan bersiap sedia."

Kane muncul penjaring terbanyak kelab utara London itu dalam liga musim ini di samping Son dengan mencetak 13 gol selain mencipta 11 bantuan gol.

Dia telah mencipta 32 peluang, yang kedua terbaik selepas Son sementara 29 daripadanya berpunca daripada permainan terbuka -- enam lebih banyak daripada rakan sepasukannya dari Korea Selatan itu.

12 daripadanya merupakan peluang terhidang sementara kadar dia memanfaatkan peluangnya setinggi 60 peratus.

Spurs, bagaimanapun, sama sekali tidak merindui kelibatnya ketika diuji Wolfsberger dan salah seorang yang menonjol adalah Bale, yang membuka ruang untuk gol pembukaan Son sebelum menokok jaringan kedua perlawanan.

Ini adalah kali pertama bintang Wales tersebut menyumbat gol dan membantu Spurs dalam masa sama sejak April 2013, iaitu ketika melakukannya melawan Manchester City, sehubungan itu Mourinho - yang bertindak mengeluarkan pemain berusia 31 tahun itu selepas sejam usia permainan -- mencadangkan pemain pinjaman daripada Real Madrid mungkin cergas untuk diturunkan dalam kesebelasan ketika menentang West Ham, Ahad ini.

"Salah satu sebab mengapa Gareth meninggalkan padang selepas 64 minit ialah demi mencalonkannya untuk perlawanan seterusnya kerana salah satu perkara yang tidak mudah berkaitan dengan situasi adalah minit permainan," kata Mourinho.

"Saya percaya dia berpeluang untuk beraksi pada Ahad ini."