Bailly tidak alami kecederaan serius

Oleh Staff Writer 16 Disember 2016 1
 Bailly tidak alami kecederaan serius
Pemain pertahanan Manchester United, Eric Bailly, menjelaskan kecederaan lutut yang dialaminya ketika United mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace tidak terlalu serius.

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu telah membuat kemunculan semula pada bulan ini selepas diketepikan untuk tempoh tujuh minggu kerana kecederaan ligamen lutut dan beraksi dari awal di Selhurst Park.

Bailly terpaksa dikeluarkan pada awal separuh masa kedua, menimbulkan spekulasi dia mungkin direhatkan sekali lagi untuk tempoh yang panjang.

Pengurus, Jose Mourinho, memberi jaminan ia bukan kecederaan berulang yang dialami pemain itu sebelum ini dan pemain pertahanan itu menolak jangkaan dia akan diketepikan sekali lagi untuk tempoh masa yang panjang.

"Dengan perasaan gembira, saya mengumumkan bahawa kecederaan yang saya alami tidak terlalu serius," Bailly menulis di akaun Twitter rasminya.

"Harap dapat membantu pasukan tidak lama lagi! Terima kasih atas sokongan anda semua!"

Pemain berusia 22 tahun itu menyertai United dari Villarreal menjelang kempen 2016-17 dan muncul antara pemain utama di Old Trafford, dengan membuat 16 penampilan dalam semua pertandingan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen