Jose Mourinho berkata kecederaan yang dialami Erik Bailly dalam aksi Liga Perdana Inggeris adalah satu kecederaan baru dan tidak ada kaitan dengan kecederaan lutut yang dialaminya sebelum ini.

Bailly mengalami kecederaan ligamen lutut kanan Oktober lalu, namun selepas tiga penampilan, pemain berusia 22 tahun itu kini terpaksa diketepikan sekali lagi.

Bagaimanapun, Mouirnho mengesahkan bahawa pertahanan Ivory Coast itu mengalami kecederaan baru dan bukannya ulangan kecederaan ligamen sebelum ini.

Ditanya mengenai tahap kecederaan Bailly, Mourinho memberitahu BT Sport: "Kami tidak tahu. Ia bukan lutut yang sama.

"Sudah tentu dia juga mengalami kecederaan di bahagian lain, namun dia tetap cuba meneruskan perlawanan."

United ketika ini ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Chelsea, namun Mourinho yakin mampu meletakkan pasukannya di kelompok atasan liga.

"Apa yang kami lakukan ketika ini memadai. Masih ada tiga perlawanan lagi sebelum kalendar bulan Disember berakhir," katanya.