Pep Guardiola enggan mengambil mudah aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan West Ham, dengan kebolehan Andy Caroll di udara menjadi ancaman utama Manchester City.

City kini telah memenangi 12 perlawanan berturut-turut untuk mengetuai saingan EPL manakala West Ham tanpa sebarang kemenangan dalam lima perlawanan selepas skuad bimbingan David Moyes itu tewas 4-0 kepada Everton dalam aksi sebelum ini.

Walaupun terdapat jurang yang besar di antara kedua-dua pasukan, Guardiola menyifatkan Caroll memiliki ancaman besar buat City selepas mereka tanpa pertahanan, John Stones, yang mengalami kecederaan hamstring dalam aksi sebelum ini.

"Caroll mampu memberikan kesukaran kepada City," kata Guardiola.

"Saya menjangkakan lawan akan menerapkan pendekatan hantaran jauh ke dalam kotak penalti dan mencari Carroll untuk menjaringkan gol. Dia memiliki kelebihan itu.

"Satu serangan balas, gagal melakukan asakan dan satu kad merah, anda mungkin tewas dalam perlawanan ini," katanya.

City akan menempuhi bulan yang sukar selepas menghadapi sembilan perlawanan dalam semua kejohanan, termasuk pertembungan penting berdepan Manchester United, dan Guardiola berdepan cabaran untuk mengekalkan semua pemain-pemain cergas.