Penyerang Southampton, Charlie Austin, digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bolasepak England (FA) selepas dituduh melakukan perlakuan ganas.

Austin menjaringkan gol kelima dalam tujuh penampilan buat The Saints ketika seri 1-1 dengan Huddersfield Town kelmarin sebelum meninggalkan padang dengan masalah kecederaan hamstring yang memaksa dirinya direhatkan selama empat minggu.

Tetapi dia juga telah dihukum selepas menendang penjaga gol Terriers, Jonas Lossl, dalam perlawanan tersebut.

Austin menerima hukuman itu tetapi tidak berpuas hati dengan penggantungan tiga perlawanan yang dianggapnya keterlaluan.

Pemain berusia 28 tahun itu akan terlepas kunjungan ke Tottenham dan Manchester United, termasuk perlawanan di tempat sendiri berdepan Crystal Palace pada 2 Januari.