Jurgen Klopp memberi amaran kepada Liverpool mengenai kualiti yang dimiliki penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, dan mahu pemainnya bertahan lebih baik berbanding ketika seri 1-1 di Emirates bulan lalu tatkala kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertemu awal pagi esok.

Aubameyang beraksi di bawah bimbingan Klopp ketika di Borussia Dortmund dan kini muncul penjaring terbanyak liga dengan 13 gol.

Gandingan Aubameyang dan Alexandre Lacazette adalah penjaring gol penyamaan dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan dan Klopp berpendapat The Gunners memiliki jentera serangan yang sangat berbahaya.

Ditanya mengenai masalah yang akan dijelmakan Aubameyang, Klopp menjawab: "Banyak. Dia seorang pemain hebat, individu yang bagus, sangat kelakar dan baik.

"Dia mempunyai pemikiran seorang penjaring gol tulen, sentiasa tenang di depan gawang. Kombinasi kepantasan dan penyudah di depan gol yang dimilikinya adalah sesuatu yang istimewa, membuatkannya pemain yang berbeza.

"Aubameyang sentiasa memberikan masalah di dalam ruang yang kecil serta besar dan dia turut bagus menerusi tandukan. Arsenal membawa masuk pakej yang lengkap dan gandingannya bersama Lacazette sukar untuk dikekang.

"Mereka mempamerkan sesuatu yang anda harapkan apabila menurunkan dua penyerang. Satu kombinasi yang baik."

Liverpool kini mengatasi Tottenham Hotspur dengan enam mata untuk berada di puncak liga dan Klopp percaya pasukannya telah menunjukkan peningkatan sejak diikat seri di utara London.

"Kami perlu beraksi lebih baik berbanding di Emirates," tambah Klopp.

"Secara bertahan, kami tidak mencapai prestasi terbaik atau menjadi lebih baik sejak aksi itu.

"Kami menggunakan perlawanan November lalu untuk dianalisis sehingga memberikan kami maklumat penting. Namun, ia tetap sukar.

"Unai Emery (pengendali Arsenal) gemar mengubah sistem, bahkan mungkin dua atau tiga kali dalam sesuatu perlawanan. Ia menjadikannya menarik.

"Namun, kami mempunyai peluang lebih cerah walaupun ia akan menjadi aksi sukar kerana mereka bagus.

"Emery tidak menghiraukan mata yang diraih kedua-dua pasukan kerana dia hanya mahu menang. Jika kami mengambil kira kelebihan mata yang kami miliki, kami mungkin bodoh. Mujur pemain tidak begitu.

"Kami perlu mempamerkan aksi bola sepak terbaik."