Pierre-Emerick Aubameyang digesa untuk menyertai kelab yang lebih bercita-cita berbanding Arsenal ketika dia sedang memasuki fasa kemuncak prestasinya.

Presiden Persatuan Bolasepak Gabon (FEGAFOOT), Pierre Alain Mounguengui, berasakan kapten Arsenal itu sepatutnya memiliki lebih banyak trofi bagi membuktikan sentuhan prolifiknya bersama Saint-Etienne, Borussia Dortmund dan The Gunners.

Aubameyang tewas dalam final Liga Europa dan Piala EFL sepanjang berada di London dan sepanjang kariernya, dia telah mengecap kejuaraan Coupe de la Ligue dan DFB-Pokal selain dua gelaran DFL-Supercup.

Dengan Barcelona dan Inter Milan antara pasukan yang dilaporkan berminat untuk mendapatkan Aubameyang, yang masih memiliki kontrak setahun bersama Arsenal, Mounguengui percaya pemain berusia 30 tahun itu menyedari "kegagalan kolektif" dirinya bersama Arsenal.

"Saya tidak mahu berkata bahawa Arsenal tidak bercita-cita tetapi mereka tidak memiliki cita-cita sebesar pasukan lain di Eropah," katanya kepada ESPN mengenai pemain kebangsaan Gabon itu

"Jadi, jika Pierre menandatangani kontrak bersama pasukan yang lebih bercita-cita, dia pasti akan menemui tempatnya

"Pada tahap individu, kita boleh menganggapnya sebagai antara pemain terbaik di dunia tetapi nasihat yang saya berikan kepadanya adalah supaya dia kekal meneruskan aksi terbaiknya untuk memikat kelab yang lebih besar dan bercita-cita.

"Aubameyang pemain berkelas dunia tetapi buatnya, atau sesiapa sahaja di Eropah yang belum memenangi gelaran utama, bola sepak adalah sukan kolektif

"Buat masa ini, dia berada di Arsenal dan masih belum memenangi apa-apa, jadi ia adalah kegagalan kolektif," katanya.