Pierre-Emerick Aubameyang menjelaskan dia kini cuba mengembalikan kecergasan menjelang kunjungan Arsenal ke Bournemouth bagi aksi Liga Perdana Inggeris.

Arsenal berdepan krisis kecederaan di bahagian serangan ekoran Danny Welbeck terpaksa berehat panjang akibat masalah di bahagian buku lali sehingga memerlukan pembedahan.

Aubameyang dan rakan gandingannya, Alexandre Lacazette, tidak tampil buat negara masing-masing dalam aksi antarabangsa baru-baru ini, juga disebabkan masalah kecederaan.

Namun, penyerang Gabon itu memberi penjelasan kepada penyokong bahawa dia melakukan apa sahaja unuk kembali cergas buat skuad kendalian Unai Emery itu menjelang aksi di Stadium Vitality, Ahad ini.

"Cuba kembali cergas secepat mungkin," kata Aubameyang menerusi laman Twitter peribadi.

Aubameyang menjadi salah seorang bintang utama Arsenal musim ini sehingga dinobatkan selaku Pemain Terbaik Bulan Oktober Liga Perdana Inggeris.

Pemain berusia 29 tahun itu kini menyumbat sembilan gol dalam semua kejohanan tatkala tujuh gol yang diraih meletakkannya selaku penjaring terbanyak dalam pasukan.

Arsenal kini berada di tangga kelima liga, tiga mata di belakang seteru utama, Tottenham Hotspur, yang bakal ditemui dalam kedua-dua aksi liga dan Piala Liga bulan depan.

Anak-anak buah Emery memenangi 11 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini setelah tewas di tangan Manchester City dan Chelsea ketika awal musim tetapi mereka hanya memenangi satu aksi dalam lima perlawanan terakhir.