Pierre-Emerick Aubameyang melontarkan cabaran kepada Arsenal agar membuktikan mengapa dia harus menandatangani kontrak baru dengan mengatakan The Gunners "memegang kunci" kepada masa depannya.

Ketua pasukan itu akan memasuki tahun terakhir kontraknya di Stadium Emirates dengan rundingan perjanjian baru masih buntu.

Aubameyang merupakan penggempur produktif buat pasukan London itu sejak diikat daripada Borussia Dortmund pada Januari 2018 apabila menyumbat 49 gol dalam 75 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Begitupun, penyerang Gabon itu masih belum menjulang gelaran bersama Arsenal, justeru dia -- yang dikaitkan dengan pasukan seperti Manchester United, Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) -- memberi bayangan bahawa cita-citanya adalah meraih gelaran sebelum dia memeterai kontrak baru.




"Kebelakangan ini saya belum menerima sebarang tawaran kontrak baru," katanya kepada Telefoot.

"Tetapi, tentu saja beberapa bulan sebelum ini kami ada membincangkannya.

"Mereka tahu mengapa setakat ini ia tidak dipersetujui. Mereka mempunyai kuncinya. Terserah kepada mereka untuk melaksanakan tugas mereka dan selepas itu, kita akan melihat bagaimana keadaannya.

"Ini adalah titik perubahan dalam karier saya dan saya akan bersikap jujur ​​terhadap semua orang. Ia pasti akan menjadi keputusan yang sangat sukar untuk dibuat. Saya masih belum memutuskannya dan kita akan melihatnya. Ini mungkin merupakan keputusan yang paling penting dalam kerjaya saya.

"Semua pemain mahu memenangi gelaran. Semua orang akan mengajukan soalan 'adakah dia mahu memenanginya di Arsenal atau di tempat lain?'

"Tetapi, seperti yang saya katakan, masa akan memberikan jawapannya. Seperti yang telah saya katakan, kelab mempunyai kunci untuk ini. Saya dahagakan gelaran dan apa sahaja keputusan saya, saya berhasrat untuk memenangi gelaran. Saya belum membuat keputusan muktamad. "

Arsenal menyambung aksi EPL selepas tiga bulan saingan itu tertunda berikutan COVID-19 dengan bertandang ke Manchester City, Khamis ini.

Anak buah Mikel Arteta itu menghuni tangga kesembilan, lapan mata dipisahkan dengan pasukan di tempat keempat dan tiket Liga Juara-Juara (UCL).

The Gunners masih berpeluang memenangi Piala FA musim ini apabila akan menghadapi Sheffield United dalam pertembungan suku akhir, hujung bulan ini.