Carlo Ancelotti mendakwa ia bukan "misi mustahil" buat Everton mengakhiri rekod buruk berdepan musuh tradisi, Liverpool.

Rekod 'derby' Merseyside buat Everton berterusan apabila mereka tewas 5-2 di Anfield, sekali gus titik noktah buat Marco Silva bersama pasukan.

The Toffees tidak pernah menewaskan Liverpool, yang mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 10 mata, dalam mana-mana kejohanan sejak 2010.

Ancelotti, bagaimanapun, menewaskan skuad kendalian Jurgen Klopp itu 2-0 bersama Napoli dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Everton sekali lagi akan berkunjung ke Anfield dalam saingan Piala FA, 5 Januari ini dan Ancelotti teruja untuk berdepan juara Eropah itu.

"The Evertonians mengetahui rekod saya berdepan Liverpool, mereka akan bergembira dengannya," kata pengendali kelahiran Itali itu.

"Napoli mengatasi Liverpool musim ini. Ia merupakan satu persaingan yang sengit di sini dan ia memberikan motivasi kepada saya.

"Sejujurnya, saya memiliki hubungan yang baik dengan Jurgen Klopp. Berdepan mereka sentiasa menghadirkan keterujaan buat saya.

"Sememangnya, saya perlu mengatasi mereka tetapi mereka tidak biasa dengan kekalahan. Saya menyedari betapa tinggi makna buat Evertonians yang mahu menewaskan Liverpool.

"Kami tidak perlu menunggu lama kerana kami akan berdepan awal tahun depan. Ia bukan misi mustahil, tiada apa yang mustahil dalam bola sepak," tambahnya.

Everton kini dipisahkan empat mata daripada zon penyingkiran dan kehadiran bekas pengendali Real Madrid, Paris Saint-Germain (PSG) dan Chelsea itu menjelaskan cita-cita pasukan itu yang berjaya menarik perhatiannya untuk mengambil tugas berkenaan.

"Tarikannya adalah tradisi, sejarah kelab ini. Ia merupakan salah sebuah kelab terbesar di England," katanya.

"Benar saya telah membimbing kelab-kelab gergasi. Ketika bersama PSG, mereka memiliki projek yang menarik dan berjaya menarik perhatian saya dan saya berasakan di sini juga sama.

"Tidak benar jika saya dianggap membimbing kelab utama. Saya pernah bersama Parma pada permulaan karier. Saya gemar pasukan yang mempunyai sasaran dan memiliki jalan yang baik untuk mencapainnya. Padang latihan di sini sungguh menarik.

"Kelab juga mahu membina stadium baru. Ia adalah bukti mereka mahu melangkah ke hadapan."