Mikel Arteta yakin Arsenal dapat memujuk pemain bintangnya, Pierre-Emerick Aubameyang, untuk kekal bersama pasukan itu.

Kontrak pemain berusia 30 tahun itu di Stadium Emirates akan tamat pada Jun tahun depan dan dia mendedahkan dalam rancangan bola sepak Perancis, Telefoot, bahawa perpindahannya selepas ini merupakan satu titik perubahan dalam kariernya.

Aubameyang turut meluahkan kekecewaannya terhadap kurangnya perkembangan mengenai perbincangan lanjutan kontraknya dengan Arsenal, di mana dia menjaringkan 61 gol daripada 97 penampilan sejak menyertai pasukan itu daripada Borussia Dortmund pada Januari 2018.

"Kami mengadakan banyak perbincangan dengan Pierre, keluarga dan ejennya. Saya amat positif bahawa kami akan dapat menemui kesepakatan dengan kesemua pihak," kata Arteta dalam sidang media maya menjelang perlawanan menentang Manchester City awal pagi Khamis ini.

"Ia menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan dia dapat berasakan bahawa ini adalah langkah seterusnya dalam kariernya.

"Untuk kami melakukannya, dia perlu berasakan bahawa dirinya bernilai.

"Saya fikir dia perlu berasakan yang dia sememangnya ditakdirkan untuk berada di sini dan kami mahukannya.

"Dan selepas itu, dia perlu percaya bahawa kami boleh membawa kelab ini ke depan dengan cara yang kami inginkan.

"Dia akan menjadi pemain utama untuk melakukan perkara itu.

"Buat masa ini, saya amat gembira dengan persembahan dan kelakuannya.

"Saya mempunyai hubungan yang baik dengannya, di mana kami boleh berbincang banyak perkara secara empat mata.

"Setakat ini, setakat yang saya sedar, saya fikir dia gembira bersama kelab ini," katanya.

Berkenaan kekecewaan Aubameyang mengenai penundaan perbincangan mengenai kontraknya, Arteta menjelaskan bahawa ia mungkin disebabkan oleh perintah berkurung gara-gara pandemik Covid-19, yang menjejaskan kesemua acara sukan elit.

"Daripada konteks berbeza, kami mahu melakukan setiap perkara dengan lebih segera.

"Masa kami amat padat, begitu juga dengan komunikasi.

"Amat jelas waktu yang sukar ini memberikan banyak ketidakpastian.

"Semua perkara semakin jelas setiap hari dan kami semakin hampir untuk mengembalikan perlawanan bila sepak.

"Saya tidak sabar untuk menantikannya," tambahnya.