Mikel Arteta dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan kegemilangan Arsenal selepas dilantik selaku pengurus pasukan Liga Perdana Inggeris itu dengan kontrak tiga setengah tahun.

Pengesahan mengenai keputusannya untuk meninggalkan Manchester City dan kembali ke kelab itu, di mana dia menamatkan kariernya selaku pemain, diumumkan Arsenal malam tadi.

Pengurus berbangsa Sepanyol itu menghabiskan tiga setengah tahun sebagai pembantu kepada Pep Guardiola di Stadium Etihad dan City mahu khidmat Arteta dipanjangkan.

Dia dilihat sebagai calon terbaik untuk menggantikan Guardiola satu hari nanti, namun Arteta sudah tidak mampu menunggu untuk mengemudi sebuah pasukan Liga Perdana.

Pengurus berusia 37 tahun itu akan memulakan tugasnya esok, sehari selepas Arsenal berdepan Everton -- satu lagi bekas pasukannya -- dalam liga.

"Ia satu penghormatan yang besar," kata Arteta.

"Arsenal merupakan salah satu pasukan terbesar di dunia.

"Kami perlu bersaing untuk merebut trofi utama dan ia sesuatu yang amat jelas buat saya sewaktu berbincang dengan Stan dan Josh Kroenke dan semua warga senior daripada kelab ini.

"Kita semua tahu banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mencapainya tetapi saya yakin kami akan melakukannya.

"Saya cukup realistik untuk mengetahui bahawa ia tidak akan berlaku dalam satu malam tetapi skuad ketika ini mempunyai ramai bakat dan terdapat ramai pemain yang tiba daripada akademi," katanya lagi.

Arsenal terjerumus ke tangga ke-10 Liga Perdana selepas 17 perlawanan.

Mereka ketinggalan tujuh mata daripada slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan selepas turut gagal menamatkan musim lalu dalam kelompok empat teratas.

Arteta menggantikan seorang lagi pengurus berbangsa Sepanyol, Unai Emery, yang dilantik pada Mei 2018 bagi menamatkan rejim 22 tahun Arsene Wenger.

Selepas Emery dipecat hujung bulan lalu, bekas pemain tengah Arsenal, Freddie Ljungberg, dilantik sebagai pengurus sementara dan dia akan meneruskan tugas itu dalam perlawanan menentang Everton malam ini sebelum Arteta mengambil alih.