Mikel Arteta masih belum mengetahui hala tuju polisi perpindahan Arsenal berikutan pemergian Raul Sanllehi, tetapi yakin kelab itu akan terus berbelanja di sebalik pembuangan pekerja dan pemotongan gaji.

Arteta, yang menjuarai Piala FA akan menghadapi pemenang Liga Perdana Inggeris (UCL) musim lalu, Liverpool, dalam Piala Perisai Komuniti malam ini sebagai aksi kompetitif pertama musim ini.

Begitupun, bekas ketua pasukan The Gunners itu belum yakin sepenuhnya dengan aktiviti perpindahan kelab itu meskipun telah menandatangani Willian dan Gabriel Magalhaes.

Ketua Program Bola Sepak, Sanllehi, telah angkat kaki awal bulan ini yang menyaksikan Pengarah Urusan, Vinai Venkatesham, mengambil alih peranan itu.

"Ini sesuatu yang sedang kami bincangkan pada masa ini," katanya.

"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Raul. Saya amat menghormati dan mengaguminya selepas berpeluang bekerja disampingnya dan menikmatinya.

"Kini kami perlu mencari cara jalan terbaik untuk menguruskan kelab ini daripada segi kesukanan. Itulah yang kami cuba lakukan sambil berusaha mendapatkan kesemua pemain sasaran dalam pasaran perpindahan kali ini."

Situasi di kem Arsenal semakin sulit berikutan kekangan kewangan dihadapi sambil mengumumkan pembuangan kakitangan seramai 55 orang.

Skuad utama terpaksa dipotong gaji ketika penularan COVID-19 di Eropah memuncak walaupun Mesut Ozil menolaknya dan mengkritik "tekanan" daripada kelab itu.Ketika kelab London itu melengkapkan pengambilan rekrut baru, Willian dan Gabriel, sementara tawaran kontrak baru yang lebih lumayan bakal menyusul buat Pierre-Emerick Aubameyang, Arteta berkata: "Saya faham.

"Jika anda hanya melihatnya daripada sudut kewangan, anda mungkin berpendapat sebaliknya.

"Tetapi apa yang jelas, kelab ini mempunyai rancangan yang sangat teliti untuk menyusun semula struktur kelab ini agar dapat berfungsi dengan lebih baik dan menjadi lebih stabil pada masa depan.

"Mereka sangat meyakinkan dengan hujah yang mereka berikan kepada kami semua bahawa ini adalah satu tindakan yang betul."

Bagaimanapun, pengurus dari Sepanyol itu mengakui majikan harus mencari "keseimbangan yang tepat" berkaitan proses perpindahan sambil menambah bahawa kelab berkenaan sangat peka mengenai keperluannya memenuhi peraturan Fair Play Kewangan.

Selain itu, Arteta belum dapat memastikan kelibat anak buahnya yang akan terlepas perlawanan menentang Liverpool tetapi mengakui pasukan kendaliannya berdepan beberapa masalah yang berbeza.