Mikel Arteta memuji disiplin Alexander Lacazette selepas penyerang itu masuk selaku pemain gantian dan meledakkan gol kemenangan Arsenal ke atas West Ham, semalam.

Pemain Perancis, Lacazette, diletakkan di bangku simpanan untuk memberi laluan buat Eddie Nketiah yang meraih slot kesebelasan utama buat kali ketiga sejak kembali daripada pinjaman ke Derby County, Januari lalu.

Tatkala permainan masih buntu tanpa jaringan selepas 60 minit, Arteta membawa masuk Lacazette menggantikan Nketiah dan bekas penyerang Lyon itu meledakkan gol kemenangan buat The Gunners ketika permainan berbaki 12 minit.

Arteta mendedahkan pemilihan Nketiah dilakukan selepas melihat pertahanan lawan yang dihadapi Arsenal tetapi dia teruja dengan fokus dan konsentrasi Laazette walaupun mungkin kecewa tiada dalam kesebelasan utama.

"Saya mempunyai dua penyerang yang memberikan kesukaran buat saya tetapi dalam masa sama, ia bagus," katanya.

"Kedua-dua mereka meledakkan gol dan bagus ketika ini. Saya menurunkan Nketiah berdasarkan jenis benteng yang dihadapi dan sedar memerlukan Lacazette ketika tempoh terakhir.

"Dia sedia untuk melakukannya. Saya melihatnya sewaktu bercakap dengannya serta memberikan arahan dari tepi padang.

"Dia fokus dan saya dapat melihat keinginannya untuk masuk dan menjaringkan gol seperti apa yang dilakukan."

Pierre-Emerick Aubameyang sekali lagi memulakan perlawanan selaku sayap kiri tetapi Arteta terpaksa meletakkan penyerang Gabon itu di tengah dan Gabriel Martinelli di bahagian tepi disebabkan kekurangan pilihan.

Ditanya jika dia melihat Aubameyang dan Martinelli sebagai penyerang tengah, Arteta berkata: "Ya tetapi keseimbangan yang dimiliki ketika ini, untuk beraksi ke sebelah kiri, kami tidak memiliki lima orang pemain kerana salah seorang daripada mereka bertindak selaku bek kiri.

"Jadi, kami cuba sesuaikan diri dengan situasi dihadapi. Kami cuba lakukan usaha berpasukan dalam memburu gol, ia boleh memberi manfaat buat skuad dan itu sebahagian daripada menguruskan pemain yang kami miliki."

Pemain yang menyertai Arsenal Januari lalu, Pablo Mari, meraih penampilan kedua dalam kesebelasan utama dengan baik dan meraih satu lagi aksi tanpa dibolosi sekali gus membuatkan Arteta teruja dengan cara bek tengah itu menyesuaikan diri.

"Idea bagus, saya terima nasihat anda," ujar pengurus itu selepas ditanya jika Mari beraksi dalam aksi seterusnya.

"Jika ia semudah itu, diharapkan dia melakukannya di Manchester City, tidak dibolosi. Namun, dia menyesuaikan diri dengan baik.

"Ia bukan liga yang mudah. Untuk seorang bek tengah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris merupakan tugas sukar buat pemain luar.

"Namun, dia sanggup, belajar pengalaman baru dan memahami rakan sepasukannya."