Arteta: Taktik bertahan Tottenham jejas cita-cita Arsenal 

Oleh Shaiful Shamsudin 13 Julai 2020 410
 Arteta: Taktik bertahan Tottenham jejas cita-cita Arsenal 
Mikel Arteta menyifatkan kekalahan 1-2 Arsenal di Tottenham, yang membantutkan cita-cita mereka ke pentas Eropah, sebagai "tamparan hebat" sambil memberi penghargaan terhadap Jose Mourinho kerana menjadikan hidup mereka sukar.

Arsenal memecah kebuntuan pada minit ke-16 menerusi gerakan menarik Alexandre Lacazette dalam aksi 'derby' utara London di Stadium Tottenham Hotspur itu, sebelum Son Heung-min memintas hantaran Sead Kolasinac kepada David Luiz untuk menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

The Gunners bertambah garang dalam babak kedua tetapi bergelut untuk membelah pertahanan Spurs yang ampuh bertahan sebelum Toby Alderweireld mengukuhkan kedudukan tuan rumah, sembilan minit menuju masa kecederaan. 

Sehubungan itu, Arsenal terperosok di tangga kesembilan dengan baki tiga perlawanan lagi, empat mata di belakang Sheffield United yang menghuni tangga ketujuh bagi meraih tempat kelayakan terakhir Eropah -- di sebalik pasukan kelapan mungkin ditawarkan laluan ke Eropah sekiranya rayuan penggantungan dua musim Manchester City dalam pertandingan elit benua itu diketepikan hari ini. 


 

"Berdasarkan mata, ia satu tamparan besar kerana hujung minggu ini kami sedar akan hakikatnya, tetapi kami akan terus mencuba sambil tetap menyimpan harapan," kata Arteta.

"Kami akan berjuang dalam liga dan Piala FA untuk melakukan yang terbaik dan berusaha untuk menamatkan saingan dengan sebaik mungkin."





Dia menambah: "Saya kecewa dan terkilan. Saya benar-benar terkilan dengan barisan pemain kerana mereka mempamerkan karakter untuk beraksi di sini dan membuktikan kemampuan. 

"Mereka mematahkan serangan lawan, memberikan tekanan tinggi, memaksa mereka untuk membuat hantaran jauh dan kerap bertahan di kubu sendiri. Itulah yang kami mahu lakukan, tetapi jika anda dibolosi dua gol, adalah sukar untuk memenangi pertemuan 'derby'.

"Kami mampu beraksi dengan lebih baik dan tajam lagi selain memanfaatkan ruang dengan lebih baik. Kadang-kadang rentak, semangat dan jarak antara posisi tidak begitu menjadi, namun niatnya sudah ada. 

"Untuk melancarkan serangan seperti ini sepanjang masa bukannya satu perkara yang mudah. Kami mencuba dan mencipta deretan peluang untuk memenangi perlawanan ini. 

"Saya dapat menghidu apa yang (Mourinho) cuba lakukan dan kini dia meraih satu kemenangan lagi. Ini satu pertembungan dengan dua gaya yang sama sekali berbeza. 

"Dia berjaya menerusi pendekatan itu dengan sangat baik, dia mempunyai pasukan yang bagus. Dia selalu mencari jalan untuk merakamkan kejayaan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen