Mikel Arteta menegaskan aksi buruk yang dipamerkan David Luiz ketika Arsenal tewas kepada Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad awal pagi tadi, tidak mengubah pandangannya terhadap pemain pertahanan itu.

David Luiz menjadi punca kepada dua jaringan City ketika Arsenal menyambung semula kempen liga mereka dengan kekalahan besar dalam keadaan hujan di Manchester.

Bekas pertahanan tengah Chelsea itu gagal mengeluarkan bola yang membenarkan Raheem Sterling membuka jaringan menjelang waktu rehat separuh masa.

Dia kemudian dilayangkan kad merah kerana mengasari Riyadh Mahrez -- memberikan City sepakan penalti yang disudahkan Kevin de Bruyne.

Phil Foden kemudian menjaringkan gol ketiga City selepas 40 minit menentang lawan dengan 10 pemain itu tetapi Arteta -- yang mengeluarkan kenyataan bahawa dia mahu David Luiz kekal dalam pasukan itu walaupun kontraknya sudah hampir tamat -- mempertahankan pemain kebangsaan Brazil berkenaan.

"Dia sudah bercakap dalam bilik persalinan," kata Arteta kepada Sky Sports.

"David seorang yang sangat jujur dan berterus terang.

"Sudah pasti dia akan bercakap dengan anda semua dan menjelaskan mengenai perasaannya tetapi pandangan saya terhadap David tidak pernah berubah.

"Sejak saya menyertai pasukan ini, apa yang telah dilakukannya untuk pasukan ini, apa yang telah dilakukannya untuk saya, ia tidak akan berubah disebabkan dia berdepan prestasi sukar," katanya.

Ditanya sama ada Arsenal akan memilih untuk mengekalkan David Luiz, Arteta menambah: "Apa sahaja yang akan kami lakukan, atau apa yang kami lakukan sebelum perlawanan ini, kami akan menyimpannya secara dalaman."

Ia juga merupakan kepulangan terburuk buat Arteta, yang merupakan bekas pembantu jurulatih kepada pengurus Manchester City, Pep Guardiola, selepas dia turut dijangkiti Covid-19 yang mendorong kepada penangguhan Liga Perdana Inggeris pada Mac lalu.

Arsenal kehilangan Granit Xhaka gara-gara kecederaan pada awal permainan selain pemain pertahanan, Pablo Mari, turut berdepan nasib sama tidak lama selepas itu.

"Segala-galanya tidak kena sejak minit pertama, apabila Granit cedera dan kami perlu mengubah sedikit perancangan kami.

"Segala kemalangan yang boleh belaku, harap-harapnya hanya berlaku hari ini dan bukan dalam perlawanan yang menanti kami pada masa akan datang," tambahnya.