BURNLEY 1 ARSENAL 1

Granit Xhaka memohon maaf kepada peminat Arsenal berikutan kesilapannya yang menghadiahkan Burnley gol penyamaan untuk seri 1-1 di Turf Moor, malam tadi.


The Gunners memimpin perlawanan menerusi rembatan Pierre-Emerick Aubameyang sementara Bukayo Saka gagal menterjemahkan peluang terhidang sebelum tuan rumah mengikat kedudukan dengan memanfaatkan tuah yang bergolek.

Xhaka menerima hantaran pendek daripada penjaga gol, Bernd Leno dan ketika cuba mengumpan ke arah David Luiz, sepakannya melantun ke jaringnya sendiri selepas terkena pinggul penyerang Clarets, Chris Wood.

Kejadian itu memusnahkan harapan kelab London itu untuk meraih tiga mata dalam satu perlawanan yang tidak memihak mereka di mana sepakan penalti dan kad merah yang pada awalnya dikenakan terhadap Erik Pieters dibatalkan menerusi penelitian video bantuan pengadil (VAR) sementara peluang Dani Ceballos tersasar.

Xhaka kemudian meminta maaf kepada penyokong dan mengakui berkongsi kekecewaan mereka melalui laman sosialnya di Instagram.

"Saya mengakui kesilapan dan saya meminta maaf," tulisnya.

"Itulah bola sepak dan saya juga berasa kecewa seperti anda semua."



A post shared by Granit Xhaka (@granitxhaka)




Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, sebaliknya enggan mengkritik pemain tengah dari Switzerland itu selepas tamat perlawanan apabila menegaskan dia mahu pemainnya cukup berani untuk mengatur gerakan dari belakang.

"Kami bercakap mengenai (gol mudah) sepanjang masa dan hanya cuba mengambil kesempatan atas apa sahaja yang kami berikan kepada lawan," katanya.

"Dalam beberapa minggu terakhir ini, kami melakukannya. Kami harus memperbaikinya secara individu kerana pada akhirnya, kami perlu membuat keputusan di atas padang dan ia kelihatan mudah dari luar.

"Sebenarnya ia tidak semudah itu seperti yang ditonton tetapi jika seseorang melakukan kesilapan kerana mereka mahu menerapkan corak permainan kami, saya akan selalu menyokong mereka. Sekiranya seseorang mengelak dan tidak mahu memperagakan gaya permainan kami kemudian melakukan kesilapan, maka saya tidak akan bertolak ansur."

Keputusan seri itu menyaksikan Arsenal kekal di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL), sembilan mata dijurangkan dengan pasukan empat teratas.