Mesut Ozil merupakan pemain yang besar buat Arsenal, kata pengurus baru pasukan itu, Mikel Arteta, yang memberikan amaran agar setiap pemain menunjukkan minat dan tenaga atau ditunjukkan jalan keluar.

Bekas kapten, Arteta, dilantik sebagai pengganti Unai Emery selepas menandatangani kontrak selama tiga setengah tahun di Stadium Emirates.

Dia dikatakan hampir mengambil alih Arsenal ketika Arsene Wenger menamatkan rejimnya pada 2018, namun diketepikan oleh Emery, yang hanya bertahan selama 18 bulan bersama kelab itu.

Ozil pula kerap dipinggirkan oleh Emery tetapi sentiasa mendapat kepercayaan pengurus sementara, Freddie Ljungberg, dan Arteta menyedari kualiti yang dimiliki perancang dari Jerman itu.

"Dia pemain yang besar buat kelab ini," katanya dalam sidang media.

"Apa yang saya cuba fahami adalah bagaimana perasaan mereka dan apakah keperluan mereka.

"Anda perlu memahaminya.

"Apabila saya memahami mereka, saya boleh menangkis setiap alasan mereka dan fokus terhadap perkara relevan yang akan memberikan impak di atas padang buat pasukan ini.

"Dia pemain yang besar. Saya tahu apabila dia berada di tahap terbaik, dia boleh mendorong pasukan ini," katanya.

Masalah kekuatan mental sering membelenggu Arsenal dengan Emery menggugurkan Granit Xhaka daripada tugas kapten selepas pemain tengah itu menunjukkan kekecewaannya apabila digantikan dalam perlawanan menentang Crystal Palace, Oktober lalu.

Arteta, yang merupakan sebahagian daripada tenaga kejurulatihan Pep Guardiola di Manchester City, mahu setiap pemainnya menuruti falsafahnya dan bertanggungjawab.

"Saya mempunyai idea yang saya mahu rahsiakan kerana saya perlu menyokong mereka apabila saya melihat tingkah laku, perwatakan dan hidup mereka.

"Saya mahu melakukan setiap perkara dengan cara saya tetapi meyakinkan setiap orang bahawa ia cara yang betul untuk hidup yang lebih baik.

"Setiap orang perlu menghormati sesama sendiri, itu perkara pertama.

"Dan saya tidak mahu mereka berkira terhadap apa yang saya arahkan kepada mereka.

"Saya tidak mahu mereka berselindung, saya mahu mereka bertanggungjawab terhadap pekerjaan mereka.

"Dan saya mahukan mereka untuk memberikan semangat dan tenaga untuk kelab ini.

"Setiap yang tidak dapat bekerjasama tidak cukup bagus untuk berada dalam persekitaran atau budaya ini.

"Sudah pasti akan ada beberapa perubahan kerana mereka tidak beraksi pada tahap yang kami harapkan.

"Tetapi saya perlu mengetahui apa yang terjadi dan memahami bagaimana perasaan mereka.

"Jika saya dapat mencapai tahap itu, saya boleh membantu mereka dan mereka dapat mempercayai saya dan menuruti saya," tambahnya.