Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, semakin "muak" dengan situasi yang berkisarkan William Saliba di sebalik laporan yang mengatakan pertahanan tengah itu dilanda kekecewaan.

Ditandatangani daripada Saint-Etienne pada 2019 dengan yuran £27 juta (RM145.3juta) dan hanya mula melaporkan diri Julai yang lalu, Saliba sempat dipinjamkan ke kelab Ligue 1 untuk musim 2019-20 tetapi aksinya dalam kancah Perancis terbatas berikutan penularan COVID-19 yang mendorong kempen domestik ditamatkan lebih awal.

Walaupun kembali ke The Gunners sebelum awal kempen 2020-21, pemain berusia 19 tahun itu masih belum membuat kemunculan kompetitif di bawah Arteta dan pinjaman kedua ke bekas kelabnya berkenaan tidak menjadi kenyataan pada saat-saat akhir jendela perpindahan lalu.

Pertahanan tinggi lampai itu dilaporkan tidak senang dengan situasinya di kelab London utara terbabit dan pengurus dari Sepanyol tersebut mengakui dia juga berkongsi kekecewaan berkenaan, sambil memberi isyarat sedia meminjamkan pemain itu pada Januari depan bagi membantu perkembangannya dalam "tahun peralihan ini".

"Saya sudah muak dengan situasi ini kerana seperti yang anda boleh lihat, kami berusaha mencari jalan penyelesaian dalam beberapa hari terakhir jendela perpindahan lalu untuk membolehkannya beraksi dengan kerap," jelasnya kepada wartawan.




"Saya bertegas bahawa dia memerlukan tahun peralihan sewaktu kami memutuskan untuk membelinya dan mengirimkannya ke Saint-Etienne secara pinjaman. Atas banyak sebab, ia tidak berlaku agar dia dapat menimba pengalaman dalam tahun peralihan ini.

"Dia harus melaluinya dan pada masa ini, dengan jumlah pertahanan tengah yang ada dalam pasukan, kami harus meminjamkannya dan ia satu langkah yang menyakitkan. Buat masa ini, apabila kami dilanda krisis kecederaan, kami boleh menggunakan khidmatnya dan ia adalah sebahagian daripada bidang ini. "

Ketika ditanya mengenai kemungkinan melepaskan tonggak muda itu pada 2021, tambah Arteta: "Saya tidak pasti. Kami sempat mencuba dalam beberapa hari terakhir jendela perpindahan lalu untuk mencari kelab yang tepat tetapi tidak berjaya.

"Kami akan tinjau keadaan ini dalam beberapa minggu lagi dan duduk bersamanya bagi mengenal pasti jalan terbaik buatnya. Tetapi ia juga bergantung pada situasinya sendiri dan pemain lain. "

Arsenal sedang bersiap untuk pertembungan Liga Europa dengan Molde, awal pagi esok, bagi memburu kemenangan ketiga Kumpulan B.

The Gunners bersemangat tinggi selepas menamatkan penantian 14 tahun tanpa kemenangan di Old Trafford Ahad lalu.