Mikel Arteta berkata Arsenal perlu memantapkan pertahanan tengah apabila mendedahkan Shkodran Mustafi bakal terlepas kempen awal musim depan akibat mengalami kecederaan.

Tonggak Jerman itu dilanda masalah hamstring dalam kemenangan separuh akhir Piala FA ke atas Manchester City, dua minggu lalu,

Arteta mengesahkan laporan kecederaan anak buahnya itu dalam pasca kemenangan 3-2 The Gunners ke atas Watford, apabila mendedahkan pemain itu akan diketepikan selama beberapa minggu, bukannya beberapa hari.

Ketika ditanya apakah Mustafi akan terlepas aksi awal kempen musim depan, yang akan bermula pada 12 September, Arteta berkata kepada wartawan: "Ya, dia akan tersisih.

"Itu berita yang tidak enak. Dia mengalami masalah hamstring dan ia biasanya memerlukan beberapa minggu untuk pulih."



Arsenal juga harus tampil tanpa pertahanan tengah, Calum Chambers dan Pablo Mari, berikutan kecederaan jangka panjang dan kedua-dua pemain itu kini berjuang untuk mengembalikan kecergasan sebelum akhir tahun ini.

Di sebalik kehadiran William Saliba daripada Saint-Etienne, Arteta akur dengan keperluan membawa pilihan lain lagi dalam jendela perpindahan akan datang.

"Saya sudah menyebutkan kepada anda mengenai tiga pertahanan tengah yang kami hilang dan sudah lama kami tidak menurunkan mereka sepanjang musim ini," katanya. "Kami harus mengatasinya."




Selepas mengakhiri kempen mengecewakan dalam EPL dengan tiga mata ke atas Watford -- menghumban lawan mereka ke divisyen bawahan -- tumpuan Arsenal kini beralih ke perlawanan akhir Piala FA dengan Chelsea, tengah malam Sabtu ini.

Arteta perlu membuat beberapa rombakan dan memutuskan Emiliano Martinez untuk mengemudi pintu gol biarpun Bernd Leno sudah kembali menjalani latihan minggu ini selepas terpinggir selama sebulan.