Mikel Arteta percaya kemenangan dalam pertemuan setempat London menentang Chelsea mampu memberikan Arsenal momentum untuk mengubah nasib mereka.

Arsenal diikat Bournemouth 1-1 dalam aksi pertama di bawah kendalian Arteta dan menyaksikan The Gunners hanya menang satu daripada 14 perlawanan terakhir bagi semua kejohanan.

Chelsea akan menghadirkan cabaran dalam perlawanan sulung Arteta di Emirates selaku pengurus dan bakal menuju perlawanan malam esok selepas dikecewakan Southampton 2-0, kelmarin.

Arteta berharap The Gunners akan menggunakan kemerosotoan prestasi yang melanda The Blues sambil dapat memulakan semula musim selepas menduduki tangga ke-11 liga.

"Saya fikir tenaga adalah segalanya dalam kehidupan, bola sepak serta sukan dan jika kami dapat mencapainya sewaktu berdepan Chelsea, ia akan membantu pasukan," katanya.

"Saya sangat gembira dengan cara peminat melayan pemain Bournemouth dan suka melihat pemain bertemu penyokong selepas perlawanan kerana kami perlukan perhubungan itu.

"Perlahan-lahan, kami perlu membinanya kepada asal kerana ia bakal menjadi kekuatan buat kami.

"Chelsea adalah pasukan hebat, jadi ia bakal jadi ujian bagus buat kami."

Arteta sedar dia perlu memastikan pemain memahami falsafah yang dibawa dalam usaha untuk memenangi hati peminat yang kerap menyuarakan rasa tidak puas hati ekoran prestasi teruk anak buahnya seperti Granit Xhaka, Mesut Ozil dan seluruh pasukan.

"Pertama, saya fikir saya perlukan pemain dan perlu meyakinkan pemain selepas dapat memenangi hati peminat tetapi saya rasa ia bahagian paling penting dalam tugas ini," tambahnya.

"Kami bermain untuk mereka. Akhirnya nanti, mereka meletakkan banyak harapan terhadap kami. Kami perlu memberikan keseronokan kepada mereka, menjadikan kehidupan mereka lebih baik dan apabila kami menang, mereka akan pulang dalam keadaan lebih gembira.

"Ia menjadi tugas kami dan seluruh pasukan perlu lakukan segalanya untuk mencapai sasaran itu."


Editor: Nafis Abdullah