David Luiz memuji kehadiran pengendali baru Arsenal, Mikel Arteta, yang telah menyuntik semula elemen keseronokan dalam pasukan selepas mendakwa pasukannya bersedih sewaktu di bawah kendalian Unai Emery.

Arteta menggantikan Emery, Disember lalu selepas melepaskan jawatan pembantu jurulatih buat Pep Guardiola di Manchester City tatkala The Gunners dilihat bergelut dengan prestasi di bawah bimbingan pengurus sebelum ini.

Walaupun Arsenal hanya menang tiga daripada sembilan perlawanan dalam semua kejohanan sejak menerima sentuhan Arteta, Luiz berpendapat kehadiran pengurus itu telah mengubah keadaan pemain dan pendekatan yang diamalkan bekas pemain tengah The Gunners itu turut menerima pujian.

"Jika anda tidur empat jam dalam keadaan gembira, ia lebih bagus berbanding tempoh lapan jam dan bersedih," katanya.

"Saya pernah katakannya dalam temubual sebelum ini dan tetap pertahankannya. Apabila gembira, ia 10 kali ganda lebih bagus berbanding ketika bersedih. Bagi saya, keseronokan itu bukan hanya dalam bola sepak tetapi kehidupan. Itu yang paling penting dan Arteta telah membawanya kembali.

"Bekerja dengan Arteta adalah sesuatu yang hebat sejak hari pertama. Dia sentiasa berterus-terang sambil mendedahkan idea serta matlamatnya. Dia mahu cuba membawa semula sinar buat kelab ini dengan mentaliti kemenangan dan ia harus melalui kerja keras setiap hari.

"Dia cuba melakukan segalanya untuk mencapai matlamat itu. Secara peribadi, saya menikmatinya. Saya hadir daripada kelab yang sentiasa berjuang untuk kejuaraan dan Arteta tahu tentangnya.

"Dia mempunyai peluang untuk datang ke tempat menarik dan kelab yang berbeza tetapi dia menjadi pembantu buat Guardiola dalam tempoh yang lama. Dia belajar dengan cara terbaik, jadi saya fikir dia akan menjadi pengurus yang hebat.

"Falsafahnya adalah sesuatu yang saya suka tentang bola sepak dan ia menjadi mudah untuk saya sesuaikan diri. Kami cuba untuk mendominasi dan meraih penguasaan sambil membina mentaliti sentiasa mendapatkan bola sebaik sahaja melepaskannya.

"Inilah sebab mengapa saya sangat sukakan bola sepak. Saya fikir Arteta cuba menguruskan kami setiap hari secara terperinci untuk mendapatkan sentuhan terbaik kami.

"Saya telah meraih peluang bekerjasama dengan ramai jurulatih dalam karier saya. Saya fikir Arteta jelas sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu. Keghairahan itu hadir secara semula jadi apabila anda sukakan sesuatu. Dia sukakan bola sepak, bekerja dnegannya, jadi keghairahan itu akan muncul."

Selepas 25 perlawanan, Arsenal kini menduduki tangga ke-10 liga, 10 mata di belakang Chelsea yang berada di tangga keempat.



Editor: Nafis Abdullah