Mikel Arteta mengecam Arsenal di atas kekalahan 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Brighton dan Hove Albion, semalam.

The Gunners mendahului di Stadium Amex menerusi jaringan Nicolas Pepe tetapi dikejutkan dengan gol daripada Lewis Dunk dan Neal Maupay.

Dunk menyamakan kedudukan sebelum Maupay meledak gol kemenangan tuan rumah pada penghujung permainan -- yang terlibat dalam perlanggaran dengan penjaga gol, Bernd Leno, yang meninggalkan padang ekoran kecederaan lutut.

Ia merupakan kekalahan kedua Arsenal dalam tempoh seminggu setelah mereka tewas 3-0 kepada Manchester City Rabu lalu dan Arteta kecewa dengan kegagalan pasukan untuk mempertahankan kelebihan mereka.

"Saya sangat kecewa," katanya kepada BBC Sport. "Tidak boleh diterima cara kami tewas dalam perlawanan ini.

"Kami dambakan saingan dan saya mengetahui kami mempunyai skuad muda tetapi ia tidak bermaksud boleh melepaskan perlawanan begitu sahaja. Kami harus memastikan kemenangan lebih awal."

Leno kelihatan sangat tidak senang dengan Maupay ketika dia diturunkan dalam separuh masa pertama dan terdapat pergaduhan selepas perlawanan berakhir.

Arteta tidak cenderung untuk menyalahkan Maupay atas kecederaan penjaga golnya tetapi mengakui masalahnya kelihatan serius."Saya berasa sangat malang," katanya. "Saya tidak berpandangan dia mahu mencederakan Leno. Bagaimanapun, keadaannya kelihatan agak serius. Kita harus berjuang dan bersikap positif; esok adalah hari yang berbeza.

"Saya fikir pemain yang hadir hari ini menunjukkan prestasi yang sangat baik, kami melakukan lebih daripada cukup untuk memenangi permainan dengan selesa, tetapi kami pulang tanpa sebarang mata.

"Saya berasakan perlawanan ini sangat berbeza berbanding berdepan Manchester City. Apabila anda memberikan gol murah seperti yang kami lakukan dalam perlawanan ini, ia amat menyakitkan."