BOURNEMOUTH 1 ARSENAL 1

Mikel Arteta memuji persembahan Mesut Ozil selepas mengembalikan pemain tengah itu dalam kesebelasan utama ketika seri 1-1 dengan Bournemouth semalam.


Ozil terlepas perlawanan terakhir Freddie Ljungberg selaku pengendali sementara di Everton ekoran kecederaan kaki, namun pengendali Sweden itu tetap tidak memilihnya di atas tindakannya selepas digantikan ketika tewas kepada Manchester City.

Ozil jarang diturunkan di bawah kendalian Unai Emery pada permulaan musim tetapi Arteta, yang dilantik minggu lalu, menganggap pemain Jerman itu "menakjubkan" dalam sidang media pertamanya.

Beliau menurunkan Ozil dalam kesebelasan utama dan Arteta kagum dengan apa yang disaksikan ketika dia turun bertemu Bournemouth, di mana Pierre-Emerick Aubameyang menyamakan kedudukan selepas Dan Gosling membuka jaringan.

"Perwatakannya sejak hari pertama saya mengendalikan pasukan ini sangat menakjubkan," kata Arteta.

"Saya telah melihat dan berkata akan memberikan peluang kepada semua pemain dan ia termasuk Ozil.

"Ketika kami membuat persiapan, kami melihat ruang yang mampu digunakan untuk menghukum pasukan lawan. Kami percaya Ozil mampu menjadi tonggak utama perlawanan ini.

"Apa yang dipamerkan dalam perlawanan ini, kami hampir menjaringkan dua atau tiga gol menerusi serangan yang dimulakan olehnya."

The Gunners tidak mencetak sebarang percubaa tepat ke arah gol dalam separuh masa pertama serta ketinggalan pada minit ke-35 menerusi jaringan Gosling.

Bagaimanapun, Arteta berpuas hati dengan kebangkitan dipamerkan pemain-pemain, dengan Aubameyang berjaya menyamakan kedudukan sekali gus merekodkan gol yang ke-12 buat dirinya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Saya sangat bimbang apa yang bakal berlaku jika kami dibolosi, namun saya berbangga dengan perwatakan yang dipamerkan pasukan untuk kembali bangkit."