Arteta jangka jadi pilihan di Barcelona 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Mac 2021 4860
Arteta jangka jadi pilihan di Barcelona 
Mikel Arteta tidak terkejut melihat dirinya dikaitkan dengan jawatan di Barcelona apabila berlangsungnya pemilihan presiden di Camp Nou minggu ini.

Pengurus Arsenal itu berpendapat hubungannya dengan Barca di mana dia memulakan karier tidak dapat dielakkan.

Namun, Arteta menegaskan tumpuan penuh terarah kepada "hari ini dan esok" demi menguruskan The Gunners. 

Arteta menjuarai Piala FA dan Perisai Komuniti pada awal tempoh 14 bulan kendaliannya tetapi musim penuh pertamanya terbukti lebih sukar.

Kelab utara London itu menguasai tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang kunjungan ke Burnley, Sabtu ini, selepas meraih kemenangan bergaya ke atas Leicester City. 

The Gunners turut mara ke pusingan 16 Liga Europa, namun Arteta menegaskan masih banyak yang perlu dilakukan.

"Selalunya pasti akan ada spekulasi ketika berlangsungnya pilihan raya di Barcelona," kata Arteta dalam sidang media di celah-celah laporan bahawa calon terkemuka, Joan Laporta, berminat dengan sentuhannya. 

"Mereka sebuah pasukan yang sangat besar. Saya dibesarkan di sana sebagai pemain dan ia akan selalu dikaitkan.

"Tetapi saya fokus sepenuhnya kepada tugasan yang harus saya lakukan di sini, banyak yang perlu kami lakukan dan saya begitu menikmatinya.

"Hari ini dan esok, saya merupakan pengurus kelab bola sepak Arsenal.

"Saya sangat menikmatinya dan saya mahu melakukan yang lebih baik lagi daripada apa yang telah kami capai. 

"Saya tidak pasti (apa bezanya tentang melatih Barca atau Arsenal). Apa yang dapat saya sampaikan ialah saya berasa istimewa untuk menguruskan kelab bola sepak ini dan saya sangat gembira."


 

Selepas menekankan komitmennya bersama Arsenal, bekas pemain tengah itu dalam dilema apakah ini masa yang tepat untuk rundingan kontrak baru pada saat ini.

Bahkan, pengurus berbangsa Sepanyol itu mengakui ia tidak sesuai sambil tidak berasakan tidak terlalu terdesak memandangkan kesepakatannya akan bertahan hingga 2023.

"Kami masih berada di pertengahan musim ini," tambahnya. "Kami memiliki banyak perlawanan lagi dan pada masa ini ia bukan satu keutamaan.

"Tidak menjadi masalah, saya masih mempunyai kontrak di sini. Saya gembira di sini dan saya tidak fikir ia sesuatu yang mendesak. 

"Matlamat kami kini adalah untuk meneruskan perjuangan dan mengalahkan Burnley, kami cuba mengejar (tempat empat teratas) tetapi ia bukan di tangan kami.

"Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukankan ia meraih keputusannya melalui persembahan sendiri.

"Kami bertekad untuk melakukannya lebih baik daripada apa yang telah kami lakukan dalam lapan bulan terakhir ini."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen