Mikel Arteta berikrar untuk memacu semangat Bernd Leno selepas kesilapan penjaga gol itu menyebabkan Arsenal tewas 2-1 di tangan Chelsea dan pengendali baru The Gunners itu berkata dia berharap Granit Xhaka akan kekal bersama kelab itu.

Leno membiarkan hantaran lintang Mason Mount melepasinya sebelum Jorginho menyamakan kedudukan buat The Blues di Emirates, memadamkan gol pembukaan Pierre-Emerick Aubameyang dalam perlawanan yang didominasi Arsenal itu sebelum rehat.

Arsenal tersungkur dalam babak akhir perlawanan tatkala Tammy Abraham menyumbat gol kemenangan Chelsea selepas menolak bola melepasi kaki Leno ketika permainan berbaki tiga minit untuk memastikan Arteta menanggung kekalahan pertama sejak mengendalikan The Gunners.

Arteta mengakui kekalahan itu akan memberi kesan kepada keyakinan Leno tetapi menggesa pemainnya untuk terus fokus menjelang pertemuan dengan Manchester United pada Hari Tahun Baru.

"Dia akan kecewa tetapi kami harus membantunya," kata Arteta tentang penjaga gol itu.

"Dia telah beraksi cemerlang buat kelab ini.

"Saya sangat kecewa dengan keputusan ini, melihat kepada cara kami tewas. Saya teruja dengan banyak perkara tetapi kecewa tewas.

"Saya fikir struktur agak bagus. Kami perlu kawal beberapa situasi tetapi mereka sangat bagus dalam peralihan.

"Kami harus teruskan cabaran."

Ketiadaan Xhaka dalam kesebelasan utama menguatkan spekulasi yang mengaitkan pemain tengah itu dengan perpindahan ke Hertha Berlin bulan depan.

Arteta menegaskan masalah kesihatan membuatkan dia terpaksa mengetepikan pemain Switzerland itu dan berkata: "Dia mula tidak sihat selepas aksi menentang Bournemouth.

"Saya harap dia tidak keluar daripada kelab bulan depan."


Editor: Nafis Abdullah