Mikel Arteta percaya Pierre Emerick-Aubameyang merupakan tonggak penting Arsenal, sama seperti Robin van Persia sewaktu pengendali itu bergelar pemain di utara London.

Rabu lalu, Aubameyang muncul pemain terpantas Arsenal yang mencapai 50 gol dalam Liga Perdana Inggeris, mencatatnya dalam penampilan ke-79 di pentas tertinggi England tatkala The Gunners membelasah Norwich City 4-0.

Selepas perlawanan, Arteta menegaskan dia sangat positif pemain berusia 31 tahun itu akan menandatangani kontrak lanjutan di Emirates memandangkan perjanjian semasa bakal tamat penghujung musim depan.

"Saya tidak tahu tetapi itu yang saya rasa," kata Arteta.

"Cara saya berkomunikasi dengannya, perbualan yang kami raih dan sekeliling. Begitu juga dengan tenaga yang dimiliki.

"Itu cuma pendapat saya. Dalam bola sepak, perkara berubah sekelip mata. Jika anda bertanya kepada saya, ketika ini saya fikir dia mahu terus bersama kami dan berkembang untuk membantu Arsenal menjadi pasukan lebih baik."

Arteta merupakan rakan sepasukan Van Persie meraih anugerah Pemain Terbaik PFA dan Penulis Bola Sepak bagi musim 2011-12, hanya untuk menyaksikannya berhijrah ke Manchester United dan meraih kejuaraan liga, setahun kemudian.

"Apabila beraksi bersama Van Persie, dia memberikan perbezaan kepada kami setiap minggu," tambah Arteta.

"Saya sering katakan bahawa dia salah seorang penyerang terbaik yang saya nikmati sewaktu bergelar pemain kerana kemampuan beraksi di semua posisi serta kualiti keseluruhan yang ada. Begitu juga dengan teknik penyudah dan pergerakan.

"Kini, kami bernasib baik memiliki seorang lagi pemain yang mampu melakukan perkara sama.

"Kami perlu membantunya, letakkannya di posisi tepat untuk mendapatkan kemenangan yang diperlukan."