Mikel Arteta melaungkan pemain Arsenal sudah bersedia mempamerkan taringnya selepas menumbangkan Manchester United untuk The Gunners menamatkan kemarau kemenangan di Old Trafford dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 2006.

Arsenal lebih menonjol dan berhak meraih kemenangan hasil jaringan tunggal Pierre-Emerick Aubameyang dalam separuh masa kedua susulan kekasaran Paul Pogba terhadap Hector Bellerin, awal pagi tadi.

Arteta muncul pengurus kedua dalam sejarah kelab London itu mencatat kejayaan dalam kedua-dua perlawanan pertamanya menentang United selepas Herbert Chapman melakukannya pada 1925-26.

Pengurus kelahiran Sepanyol itu tidak meragui bahawa mereka sememangnya layak untuk menang.

"Saya gembira kerana kami beraksi dengan keberanian jitu dan keperibadian yang besar," kata Arteta kepada BBC's Match Of The Day.

"Secara individu harus memenangi perlawanan ini dan terus maju sementara prestasi setiap pemain pada hari ini menjadi pendorong utama kepada keputusan ini.

"Saya ingin menjana keyakinan dan saya menggesa pemain supaya mempamerkan watak sebenar.

"Kami sepatutnya menyumbat dua gol dalam babak pertama dan kami meledak satu daripada peluang itu. Kami berdepan tekanan tinggi, ini adalah gelanggang keramat."




Sepakan penalti itu mengakhiri kemarau gol Aubameyang dalam lima perlawanan, lantas Arteta berharap ia dapat merangsang ketajaman penyerang Gabon berkenaan.

Dia menambah: "Saya gembira ia telah diatasi (rekod jaringan Aubameyang). Setiap penyerang memerlukan gol dan pada saat-saat ini, kami perlu mencipta lebih banyak gol untuk Auba. Dia telah meledak gol penting dan itu akan meningkatkan keyakinannya."