Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengesahkan bahawa kelabnya semakin hampir untuk menandatangani pemain tengah Real Madrid, Martin Odegaard, secara pinjaman sambil membayangkan perkembangan positif skuad The Gunners itu selepas menewaskan Southampton 3-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Gol daripada Nicolas Pepe, Bukayo Saka dan Alexandre Lacazette membantu Arsenal bangkit daripada ketinggalan untuk meraih tiga mata di Stadium St Mary -- tempat sama mereka tewas 0-1 dalam Piala FA tiga hari sebelumnya.

Keputusan itu memastikan Arsenal memintas Southampton untuk menduduki tangga kelapan EPL dan Arteta membayangkan permulaan baik pasukannya bagi tahun 2021 akan bertambah cemerlang dengan kehadiran Odegaard.

"Saya fikir kami sudah hampir tetapi ia masih belum dimuktamadkan dan saya memahaminya," kata Arteta kepada wartawan mengenai perancang Norway berusia 22 tahun itu.

"Saya masih belum bercakap dengannya (Pengarah Teknikal Arsenal, Edu) atau kelab ini sejak beberapa jam lalu tetapi kami amat positif akan dapat memuktamadkan kesepakatan itu."

Selepas hanya memenangi satu daripada 10 perlawanan liga di antara Oktober dan Disember lalu, Arsenal tidak pernah tewas dalam lima perlawanan terakhir EPL dan memenangi empat daripadanya.

Arteta berasakan pemulihan prestasi itu telah mengembalikan keyakinan pasukannya dengan berkata: "Perlawanan bola sepak sentiasa diadili dengan keputusan dan ia memberikan kesan kepada keyakinan.

"Pada ketika ini kami mula menang dan keyakinan kami meningkat dan kami bermula untuk berkembang dan mengenali sesama sendiri dengan lebih baik. Kami kembali mendapatkan khidmat beberapa pemain dan semangat kami semakin meningkat sedikit demi sedikit."