Arsene Wenger berkata Arsenal tidak memiliki sebarang perancangan untuk membawa masuk pemain pada jendela perpindahan yang akan dibuka pada Januari.

Terdapat laporan yang mencadangkan The Gunners mahu mempertingkatkan mutu permainan dengan membawa masuk pemain-pemain baru selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut kepada Everton dan Manchester City.

Bagaimanapun, Wenger berasakan mereka tidak memerlukan pemain baru kerana terdapat ramai pemain yang semakin pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Danny Welbeck dan Aaron Ramsey telah kembali menjalani latihan pada Jumaat, manakala Alex Oxlade-Chamberlain, Shkodran Mustafi dan Per Mertesacker semakin hampir pulih daripada kecederaan.

"Kami memiliki beberapa pemain utama yang akan kembali pulih daripada kecederaan, jadi kami mungkin tidak akan mendapatkan pemain-pemain baru Januari ini," kata Wenger.

"Kami tidak memerlukan penyerang baru kerana kami sudah memiliki Lucas Perez, Olivier Giroud, Alexis Sanchez, Welbeck, Theo Walcott, dan Oxlade-Chamberlain.

"Jadi kami memiliki banyak pilihan di jentera serangan kami"