Bintang Arsenal, Mesut Ozil, berkata bahawa kelab London itu merupakan destinasinya selepas membuat keputusan meninggalkan Real Madrid.

Pemain tengah Jerman itu berhijrah ke Emirates pada musim panas 2013 dengan nilai perpindahan bernilai GBP42 juta.

Selama tiga musim bersama Arsenal, Ozil telah membuat The Gunners merangkul Piala FA dua kali berturut-turut sebelum Manchester United memenanginya musim lalu.

Ozil mendedahkan bahawa Stadium Emirates merupakan destinasinya jika mengambil keputusan untuk meninggalkan gergasi Sepanyol.

"Saya telah berbincang dengan Wenger dan beliau mahu saya di Arsenal. Saya berkata 'jika saya mendapat tawaran daripada kelab lain, Arsenal tetap pilihan pertama saya," jelas Ozil kepada saluran YouTube Arsenal.

"Saya masih mengingati Thierry Henry, Dennis Bergkamp, Robert Pires -- pemain yang berjaya di sini -- dan saya mahu menjadi sebahagian daripada mereka.

“Tahun pertama dan kedua saya memenangi Piala FA. Saya menikmati saat beraksi bersama kelab gergasi seperti Arsenal."

Ozil berharap takhta Liga Perdana Inggeris akan menjadi koleksi peribadinya ketika beraksi bersama Arsenal.