Arsene Wenger mengakui Arsenal memerlukan 'sesuatu yang istimewa' selepas Olivier Giroud menjaringkan gol kemenangan di penghujung perlawanan ketika menewaskan West Brom 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

The Gunners mendominasi skuad kendalian Tony Pulis di Stadium Emirates tetapi pertahanan The Baggies telah menyukarkan Arsenal untuk mencipta peluang.

Bagaimanapun, Arsenal -- yang telah tewas dalam dua perlawanan EPL kepada Everton dan Manchester City -- berjaya menghasilkan gol pada pada minit ke-86 selepas Giroud berjaya menyempurnakan hantaran silang Mesut Ozil.

"Di penghujung perlawanan, kami perlu lebih bersabar berdepan West Brom," kata Wenger.

"Mereka bermain dengan baik dan telah menutup setiap ruang untuk kami menghasilkan gol, ketika anda tidak menjaringkan gol di awal permainan, anda tidak boleh terburu-buru.

"Kami memerlukan sesuatu yang istimewa di penghujung perlawanan, Ozil telah melakukan hantaran silang sebelum Giroud menanduk masuk menewaskan penjaga gol lawan.

"Kami menyedari kami memerlukan kemenangan selepas tewas dalam dua perlawanan."

Wira Arsenal, Giroud, mengucapkan terima kasih kepada Ozil dengan bantuan jaringan yang menakjubkan dan menekankan kepentingan untuk pasukan kembali mencari rentak kemenangan.

"Ini merupakan kemenangan yang penting dan kami telah menampilkan usaha kami di atas padang, ia merupakan tiga mata penuh yang sangat berharga," ujar Giroud.