Mikel Arteta mengakui Arsenal perlu belajar mengawal perlawanan selepas sekali lagi melepaskan kelebihan apabila seri 1-1 dengan Sheffield United.

Jaringan John Fleck tujuh minit sebelum tamat perlawanan menyamakan kedudukan selepas Gabriel Martinelli menjaringkan gol yang kesembilan musim ini ketika bertembung di Stadium Emirates.

Arteta berasakan kurangnya tumpuan dalam perlawanan di pihak pasukan kendaliannya sejak mengambil alih tempat Unai Emery bulan lalu, namun menolak skuadnya kurang pemain yang bertindak sebagai pemimpin.

"Kami harus mempertingkatkan daripada aspek pengurusan perlawanan," katanya. "Kami boleh membincangkan mengenai perkara yang telah berlaku dan situasi yang boleh dielakkan.

"Namun, terdapat 100 juta keputusan yang boleh dilakukan dalam satu perlawanan bola sepak.

"Dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, sebagai contoh ketika bertemu Crystal Palace, kami memandang mudah ketika mereka mengambil sepakan percuma dan kami dihukum atas kelalaian diri sendiri."

Arsenal sekadar menang satu perlawanan daripada lima aksi di bawah kendalian Arteta, tiga daripadanya berakhir dengan seri 1-1, namun pengendali kelahiran Sepanyol itu percaya peningkatan telah mula dilakukan.

"Kami telah menjalani latihan dan berusaha untuk meningkat daripada setiap aspek dan terdapat ruang yang mahu saya perbaiki lagi.

"Kami akan cuba mendapatkan pelan terbaik bagi setiap perlawanan dan berusaha untuk mengelak daripada setiap perkara yang boleh menggagalkan pasukan."

Martinelli membantu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pierre-Emerick Aubameyang ketika berdepan The Blades, dengan penyerang muda itu telah menjaringkan gol kedua sejak turun empat kali dalam kesebelasan utama pasukan.

Ketika Aubameyang diketepikan untuk perlawanan berdepan Chelsea dan Bournemouth, Arteta mengakui kepentingan pemain-pemain lain untuk memberikan impak dalam perlawanan.

"Ia adalah satu kebimbangan apabila kehilangan khidmat seorang pemain yang berkualiti. Tetapi ia sudah berlaku -- kami mengetahui dia tidak dapat bersama pasukan.

"Pasukan ini mampu mencipta sesuatu, kami memerlukan pemain-pemain beraksi cemerlang dan terdapat beberapa pemain yang cemerlang keika berdepan United."



Editor: Ammar Hakim