Arsenal perlu kecilkan skuad 

Oleh Shaiful Shamsudin 1 Januari 2021 1231
 Arsenal perlu kecilkan skuad 
Mikel Arteta menjadikan bilangan skuad Arsenal sebagai keutamaannya dalam jendela perpindahan bulan ini sambil mengakui kelab itu tidak dapat mengekalkan jumlah pemain yang ada.

The Gunners membawa masuk lima muka baru dalam pasukan pertama pada awal lalu tetapi hanya melakukan satu penjualan yang menyaksikan penjaga gol simpanan, Emiliano Martinez, menuju ke Aston Villa.

Sejumlah nama besar seperti Mesut Ozil, Shkodran Mustafi, Sead Kolasinac dan Sokratis Papastathopoulos, pula sama ada jarang diketengahkan atau disisihkan dalam pasukan.

Tatkala Arsenal terus dikaitkan dengan Isco dan Joan Jordan, Arteta sebaliknya berusaha melepaskan beberapa nama sebelum merekrut pemain.

"Kami mempunyai skuad besar. Kami sedar hal ini dan banyak perkara yang ingin kami lakukan pada musim panas lalu tidak dapat dicapai atas alasan yang berbeza-beza," kata pengurus berbangsa Sepanyol itu.

"Ada beberapa pemain yang akan dipinjamkan, mereka akan pergi dan itulah keutamaan kami pada masa ini. Kami tidak dapat mengekalkan jumlah mereka yang kami miliki daripada segi penggantian pemain.


 

"Kami ingin menyelesaikannya dan kemudian barulah kami akan melihat apakah kami mempunyai peluang yang tepat di posisi yang kami amat diperlukan. Kami saling bekerjasama untuk menjayakannya."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen