Arsenal memecat Unai Emery daripada jawatan pengurus selepas merekodkan tujuh perlawanan tanpa kemenangan, demikian disahkan kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

The Gunners seakan-akan hilang sabar dengan pengurus itu selepas ditewaskan 1-2 oleh Eintracht Frankfurt dalam perlawanan Liga Europa di laman sendiri awal pagi tadi.

Emery meninggalkan Arsenal ketika pasukan itu berada di tangga kelapan Liga Perdana dengan kekurangan lapan mata daripada slot ke Liga Juara-Juara Eropah.

Staf kejurulatihan pengurus berbangsa Sepanyol itu turut dipecat, dengan bekas pemain tengah Arsenal, Freddie Ljunberg, dilantik sebagai pengurus sementara skuad utama.

Bercakap mewakili lembaga pengarah Arsenal dan pemilik, Kroenke Sports & Entertainment, Josh Kroenke berkata: "Kami berterima kasih kepada Unai dan rakan setugasnya yang telah berusaha untuk membawa kelab ini ke tahap yang kami jangka dan mahukan.

"Kami mendoakan kejayaan buat masa depan Unai dan pasukannya."

Kenyataan itu menambah: "Keputusan itu diambil berdasarkan prestasi pasukan yang tidak sampai ke tahap yang diperlukan.

"Kami meminta Freddie Ljungberg untuk mengambil alih tangunggjawab dalam pasukan utama sebagai ketua jurulatih sementara.

"Kami yakin Freddie akan membawa kami maju ke depan.

"Pencarian ketua jurulatih baru sedang diusahakan dan kami akan mengumumkannya apabila proses itu selesai," katanya.