Arsenal pamer permainan cemerlang -- Wenger

Oleh Penulis Jemputan 3 Disember 2017 2706
Arsenal pamer permainan cemerlang -- Wenger
ARSENAL 1 MANCHESTER UNITED 3

Arsene Wenger berasakan Arsenal telah mempamerkan permainan cemerlang ketika bertemu Manchester United tetapi dihukum dengan kesilapan pertahanan.


The Gunners menyaksikan rekod 100 peratus di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) lebur apabila skuad kendalian Jose Mourinho itu meraih kemenangan 3-1 di Stadium Emirates.

Antonio Valencia meledak gol pertama selepas kesilapan yang dilakukan Laurent Koscielny ketika permainan baru berusia empat minit, sebelum Jesse Lingard menyempurnakan gerakan kemas melibatkan Romelu Lukaku dan Anthony Martial serta memaksa Shkodran Mustafi kehilangan kawalan bola.

Arsenal memberikan asakan sepanjang perlawanan tetapi jaringan Alexandre Lacazette gagal menghidupkan semangat mereka selepas Lingard meledak gol kedua, sekali lagi di atas kesilapan pertahanan tuan rumah.

Wenger berbangga dengan jentera serangan pasukannya tetapi berang kerana usaha mereka dihukum dengan kesilapan di awal permainan.

"Kami tidak bertahan dengan baik pada permulaan permainan tetapi secara keseluruhan, kami beraksi cemerlang," katanya.

"Selepas ketinggalan 2-0, kami mampu untuk bangkit. Kami memiliki peluang yang banyak.

"Saya berasakan Arsenal telah mempamerkan aksi yang mantap, cuma gagal mencari sentuhan penyudah," katanya.

Arsenal menguasai permainan sebanyak 75 peratus dan melepaskan 33 percubaan tetapi pertahanan ampuh United serta penjaga gol, David de Gea, menjadi penghalang mereka.

"Ia merupakan satu misteri kami tidak menjaringkan gol tetapi De Gea merupakan pemain terbaik perlawanan," kata Wenger lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen