Unai Emery mendakwa Arsenal mengalami kejatuhan di bawah kendalian Arsene Wenger tetapi menafikan telah melakukan perubahan pantas ke atas kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Arsenal gagal layak ke Liga Juara-Juara Eropah dalam dua musim terakhir Wenger tetapi mempamerkan peningkatan bagi saingan 2018/19.

Walaupun dua aksi pertama sentuhan Emery berakhir dengan kekalahan di tangan Manchester City dan Chelsea, mereka memenangi 11 perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan selepas itu.

Tatkala prestasi Arsenal kini dilihat terganggu setelah meraih hanya satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir, mereka masih belum tewas sejak Ogos lalu di bawah kendalian bekas pengurus Paris Saint-Germain (PSG) dan Sevilla itu.

Namun, Emery menegaskan ia melibatkan evolusi berbanding revolusi di Emirates.

"Sebelum Wenger tiba, Arsenal meraikan kemenangan 1-0 dan beraksi berdasarkan ketahanan," kata Emery.

"Bersama Wenger, mereka muncul pasukan menyerang bersama pemain yang bagus dengan bola.

"Kombinasi sempurna hadir sewaktu musim 'Invincibles', iaitu meraih kempen tanpa kalah ketika menjuarai liga 2003/04. Namun, lama-kelamaan anda hanya mengutamakan teknik dan kebebasan menyerang sehingga kehilangan struktur pertahanan.

"Apa yang saya mahu lakukan adalah menggabungkannya untuk menjadi lebih kompetitif. Arsenal sedang mundur. Kami harus menyekatnya dan membuatkan ia bangkit."

Wenger mendedahkan dia bersedia untuk menerima jawatan pengurus yang lain dan Emery mengesahkan dia tidak berhubung dengan bekas pengendali The Gunners itu dalam memberikan keputusan berbeza yang dilakukan.

"Ia bukan tentang pasukan. Saya pernah ingin menjadi sepertinya," tambah Emery.

"Saya menghormatinya tetapi tidak kira seberapa banyak maklumat yang dia berikan, saya harus ubah. Saya memberitahu pemain bahawa kami bermula dari bawah. Malah, walaupun selepas empat bulan, saya sering mengingatkan ia satu permulaan!

"Di sini terdapat jurulatih kecergasan yang sentiasa bekerja. Kami tidak mengubahnya. Hanya sedikit sentuhan seperti meletakkan gimnasium bersebelahan dengan padang latihan untuk mewujudkan kesinambungan daripada gimnasium ke padang dengan lebih mudah. Ia satu corak semulajadi. Satu idea yang kekal seperti sebelumnya.

"Terdapat satu cara yang boleh dipertingkatkan daripada segi pemakanan. Bersama ahli pemakanan dan jurulatih kecergasan, kami membuat keputusan untuk mengelakkan jus dengan gula tetapi ia normal dan itu yang saya lakukan di rumah. Makan tanpa gula, kurang lemak dan lebih sihat."