ARSENAL 1 WEST HAM 0

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, bimbang dengan kecederaan hamstring yang menimpa Olivier Giroud dalam kemenangan 1-0 ke atas West Ham di peringkat suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi.


Giroud mendapat peluang yang jarang berlaku musim ini untuk memulakan permainan dalam barisan utama di Stadium Emirates sebelum dia terpaksa menahan kesakitan pada minit ke-78.

Francis Coquelin juga mengalami kekejangan dalam pertembungan itu tetapi dijangka bersedia untuk menyambut Liverpool, hujung minggu ini.

Giroud memberi perkhabaran kurang enak apabila penggempur Perancis itu hampir pasti akan terlepas aksi dalam tempoh sibuk perayaan Krismas nanti.

"Ia sepatutnya begitu, kami perlu menunggu untuk melakukan imbasan 48 jam selepas kecederaan," kata Wenger kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Ini akan dilakukan pada Khamis, maka kami akan tahu sejauh mana tahap hamstringnya (kecederaan).

"Apabila anda mendengar dia mengerang, kesakitannya kelihatan agak serius, namun ia tidak mencerminkan sejauh mana kecederaannya.

"Bagi saya, ia tidak kelihatan sangat baik," ujarnya.

Danny Welbeck menjaringkan gol kemenangan pada babak pertama yang merupakan percubaan tepat tunggal perlawanan untuk membawa Gunners ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2011.