Arsenal mahu tandatangani Ceballos secara tetap

Oleh Ammar Hakim 7 Julai 2020 154
Arsenal mahu tandatangani Ceballos secara tetap
Arsenal dalam perbincangan untuk menjadikan pertukaran pinjaman Dani Ceballos daripada Real Madrid secara tetap.

Musim pemain tengah Sepanyol berusia 23 tahun itu terganggu kerana kecederaan hamstring tetapi kini telah turun tujuh daripada lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mula berkembang maju di bawah kendalian Mikel Arteta.

The Gunners kembali beraksi menentang Leicester City awal pagi esok selepas merekodkan kemenangan 2-0 hujung minggu lalu ketika berdepan Wolves dalam usaha mereka untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara (UCL).

Pengakhir musim yang cemerlang di Stadium Emirates bakal menjadi motivasi buat Ceballos kekal bersama pasukan.

"Ya, kita telah berbincang dengan [Real Madrid]," kata Arteta.

"Jelas Ceballos masih belum lagi menjadi milik kami. Kami perlu mengadakan perbincangan dan melihat apa yang dapat kami lakukan."

Ceballos yang meledak gol kemenangan ke atas Sheffield United untuk memastikan pasukan menempah slot ke separuh akhir Piala FA berdepan Manchester City dan Arteta terkesan dengan semangat yang dimilikinya.

"Saya sangat gembira dengannya cara dia berkembang. Dan, saya juga suka betapa dia suka bermain bola sepak, semangat yang dia ada dalam setiap sesi latihan dan dalam setiap perlawanan," tambahnya.

"Saya sangat gembira dengannya. Saya berasakan dia berkembang dengan cara yang betul dan menjadi pemain yang sangat penting bagi kami."
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen