Mikel Arteta menganggap kejayaan ke atas Chelsea pada awal pagi esok merupakan tonik terbaik untuk Arsenal mengakhiri penderitaan mereka dalam tempoh getir ini.

Arteta semakin tertekanan selepas The Gunners terperosok di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Mereka juga terkandas dalam Piala Liga Inggeris (EFL) apabila kalah 1-4 dalam perlawanan suku akhir di kandang Manchester City, Rabu lalu.

The Gunners kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan dan hanya mengutip dua mata sejak menundukkan Manchester United di Old Trafford pada 1 November lalu.

Pengurus dari Sepanyol itu menganggap kemenangan dalam 'derby London' menentang pasukan bimbingan Frank Lampard itu boleh menjadi tonik paling mujarab menjelang kunjungan ke Brighton & Hove Albion serta West Brom.



Pengurus Arsenal itu berkata: "Pada masa ini, saya perlu mengekalkan semangat pasukan, memastikan pasukan tetap berjuang. Bukannya hanya berkisarkan sekumpulan pemain, ia memerlukan usaha tinggi kerana apabila kalah, kami perlu mengangkat mereka, untuk menyatukan mereka.

"Anda harus membuat mereka semua bersikap positif antara satu sama lain, tidak saling menyalahkan atau dipengaruhi faktor luaran apabila keadaan tidak berjalan dengan baik.

"Perkara terbaik yang boleh dilakukan apabila kami menempuhi situasi seperti ini ialah mengetepikan laman sesawang. Memerlukan persekitaran yang lebih segar tetapi akibat kekangan COVID-19, kami tidak dapat melaksanakannya dan kami mungkin tidak dapat melakukannya dalam masa terdekat.

"Kami perlu mencuba pendekatan lain tetapi saya harus mengatakan bahawa pemain benar-benar menanam semangat untuk terus mempercayai falsafah kami. Tetapi ia memerlukan banyak tenaga kerana kami sedang tewas.

"Bebannya pemain sangat tinggi dalam setiap perlawanan. Terdapat kekecewaan besar dan ada yang menderita. Kami sakit dan menderita dan kami perlu bangkit, mula memperoleh keyakinan dan cuba mendorong pemain. Mereka perlu bertindak balas dan bersemangat untuk menghadapi perlawanan.

"Penawar paling mujarab adalah kemenangan ke atas Chelsea."

Arsenal hanya empat mata di atas zon penyingkiran, justeru Arteta sedar mereka perlu mengubah rentak dalam tempoh penting.

"Saya rasa tujuh hingga lapan hari akan datang sangat getir untuk melihat kemajuan kami dalam EPL," katanya lagi.