Mikel Arteta mengakui kesedihannya berhubung penggantungan yang dikenakan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) terhadap Manchester City selepas menyaksikan Arsenal membelasah Newcastle United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk merapatkan jurang dengan slot Eropah.

Bekas penolong jurulatih City itu mengemudi pasukannya untuk menjinakkan Newcastle 4-0 di Stadium Emirates, awal pagi tadi, namun penggantungan skuad Pep Guardiola berkenaan dalam kancah Eropah menghiasi berita sepanjang hujung minggu lalu.

Walaupun City mengumumkan hasrat untuk merayu, pasukan di tangga kelima kini berpeluang untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) manakala pasukan di tangga kelapan pula akan bersaing dalam Liga Europa, bergantung kepada pasukan manakah yang akan memenangi trofi domestik.

Arsenal, yang menghuni tangga ke-10, memerlukan babak kedua untuk mencatat gol menerusi Pierre-Emerick Aubameyang, Nicolas Pepe, Mesut Ozil dan Alexandre Lacazette, namun pengurus itu tidak berselindung untuk berkongsi kesuraman yang sedang ditempuhi bekas majikannya berkenaan.

"Kami tidak tahu apa-apa mengenainya," katanya kepada Sky Sports.

"Kita perlu tunggu dan lihat.

"Ia sangat sukar, perasaan saya sama sekali tidak bercampur baur. Saya mahukan yang terbaik buat Manchester City, yang terbaik untuk Pep dan barisan pemainnya.

"Saya sayangkan ramai orang di sana dan saya sangat bersyukur kerana berkesempatan menghabiskan masa di sana. Satu-satunya perkara yang saya mahukan adalah perkara yang positif dan baik buat mereka.

"Saya hanya mahu melakukan yang terbaik bersama Arsenal, meraih pencapaian yang sepatutnya."

The Gunners kurang menyerlah dalam separuh masa pertama ketika menentang Newcastle apabila bermula perlahan dan kadang-kadang agak goyah ketika bertahan, sehubungan itu pengurus kelahiran Sepanyol itu enggan terbawa-bawa.

"Kami fokus kepada satu persatu perlawanan memandangkan 10 hari yang lalu, saya kecewa dengan corak permainan kami di Burnley," katanya.

"Banyak perkara yang akan berlaku.

"Ia terpulang kepada kami sendiri dan sejauh mana ketekalan kami, bermula dari sekarang hingga akhir musim ini.

"Jika kami mahu menghidupkan peluang layak ke Eropah dalam beberapa perlawanan terakhir, kami perlu bersatu hati untuk mencapai kemenangan."

Ditanya apakah pesanannya kepada pasukan selepas babak pertama yang sukar, ketua pasukan, Aubameyang, berkata: "'Teruskan berjuang. Kami tidak bermula dengan cara yang terbaik.

"Tetapi dalam babak berikutnya, kami mengerahkan tenaga dan kami akhirnya dapat menyumbat gol pertama, kedua dan yang ketiga."

Mengenai kesan yang dibawa oleh pengurus itu di Stadium Emirates sejak pelantikannya pada Disember lalu, penyerang itu menambah: "Kami berasa lebih baik. Kami mempunyai idea untuk beraksi yang sangat jelas.

"Kami akan cuba mengekalkan tahap ini, kami gembira jika dapat teruskan seperti ini."

Editor: Shaiful Shamsudin