Mikel Arteta bercadang untuk mengadakan perbincangan kontrak dengan bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, sebelum akhir musim ini.

Kontrak Aubameyang di Emirates bakal tamat hujung musim depan dan penggempur Gabon itu dikaitkan dengan Barcelona, Real Madrid, Inter dan Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain berusia 30 tahun itu telah menyumbat 61 gol dalam 96 penampilan buat The Gunners sejak tiba daripada Borussia Dortmund pada Januari 2018.

Ditanya tentang perbincangan dengan Aubameyang mengenai kontrak penyerang tu, Arteta memberitahu dalam sidang media: "Kami perlu lakukannya sebelum akhir musim, itu sudah pasti.

"Saya akan lihat apa keinginan yang kami dan dia mahu memandangkan sukar untuk berbincang ketika ini. Bagi saya, ia mudah. Saya mahu mengekalkannya dalam apa jua cara."

Isnin lalu, Arsenal bangkit daripada penyingkiran pusingan 32 Liga Europa susulan kekalahan di tangan Olympiacos minggu lalu dengan menundukkan Portsmouth 2-0 sekali gus menempah tiket suku akhir Piala FA berdepan Sheffield United.

The Gunners berpeluang meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris musim ini apabila melayan kunjungan West Ham United esok dan Arteta berharap keputusan positif dapat memberi suntikan semangat susulan penyingkiran daripada Liga Europa.

"Tewaskan West Ham dan kami semakin hampir. Itu yang saya fikirkan kerana beberapa minggu lalu, ia tampak mustahil tetapi jika dapat tundukkan West Ham, peluang lebih cerah," tambahnya.

"Sasaran utama adalah mengharungi perlawanan demi perlawanan serta mula mendapatkan tiga mata, kemudian kami berpeluang dalam tiga atau empat aksi terakhir musim ini."