BURNLEY 0 ARSENAL 1

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, menyifatkan pasukannya berhak menerima sepakan penalti di penghujung permainan ketika menewaskan Burnley 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Alexis Sanchez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92 menerusi sepakan penalti itu selepas Aaron Ramsey dijatuhkan dalam kotak penalti oleh James Tarkowski.

Burnley ternyata tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, yang menyaksikan mereke tewas kepada The Gunners dalam tiga perlawanan pada penghujung permainan -- dalam dua edisi sebelum ini, Sanchez juga muncul sebagai penjaring gol kemenangan.

Bagaimanapun, Wenger menegaskan penilaiannya terhadap keputusan yang diberikan oleh pengadil perlawanan.

"Arsenal berhak menerima sepakan penalti itu. Saya perlu melihatnya semula. Saya memahami Burnley kecewa," kata Wenger.

"Ramsey tidak menjatuhkan dirinya. Dia berkata bahawa dia mahu menguis bola tetapi ditolak oleh pemain lawan."

Arsenal dilihat bakal kehilangan mata buat kali keenam dalam saingan EPL musim ini selepas bergelut mencipta peluang tanpa kelibat Mesut Ozil, yang diketepikan kerana mengalami masalah kesihatan.

Tetapi persembahan Arsenal bertambah baik selepas perlawanan bersambung pada separuh masa kedua dan Wenger gembira dengan keputusan ini.

"Selepas kemenangan ke atas Tottenham, ia amat penting untuk meraih kemenangan di tempat lawan dan kami telah melakukannya.

"Kami memastikan gawang tidak dibolosi, meraih kemenangan 1-0 dan saya mahu mengucapkan tahniah kepada pertahanan saya, Nacho Monreal, Laurent Koscielny dan Shkodran Mustafi," ujarnya lagi.